Keberkatan mencari rezeki

Keberkatan mencari rezeki

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Sept – Dalam usaha mencari rezeki yang berkat, umat Islam perlu mentaati perintah Allah S.W.T dan menjauhi laranganNya serta memperbanyakkan istighfar kerana perkara-perkara ini membuka pintu rezeki yang penuh keberkatan kepada umat Islam.

Timbalan Mufti Kerajaan, Dato Seri Setia Dr. Haji Japar bin Haji Mat Dain@Maidin menekankan perkara itu ketika berucap pada majlis pelancaran buku terbaru terbitan Jabatan Mufti Kerajaan bertajuk ‘Rezeki dan Hutang: Tazkirah, Doa dan Amalan’ di Ruang Legar Darulifta’ Brunei Darussalam hari ini.

Dato Seri Setia Dr. Haji Japar berkata, “Ketiga-tiga perkara ini bagaimanapun sering dilupakan dalam pencarian rezeki yang berkat, kerana kadang-kadang kita tidak mengendahkan perkara halal haramnya. Apa yang penting memperoleh rezeki semata-mata sekalipun kita berniaga itu dengan cara menipu, mendapatkan wang melalui jalan yang haram, mengambil harta secara tidak jujur, bahkan dalam pembahagian harta pun, kita mengambil hak orang lain dan seumpamanya.”

“Rezeki tidak berkat seumpama ini tidak membawa ketenangan dalam kehidupan, bahkan jika ia banyak sekali pun, kita tidak akan merasa cukup kerana tiada keberkatan. Begitu juga hak-hak yang tidak ditunaikan seperti pengeluaran zakat dan sebagainya,” tambahnya.

Manakala ketika menyentuh mengenai hutang, Timbalan Mufti Kerajaan menegaskan bahawa hutang wajib dibayar dengan segera jika ada kemampuan, sama ada sedikit atau banyaknya hutang tersebut. Perbuatan sengaja melengahkan hutang adalah perbuatan yang zalim.

Dato Seri Setia Dr. Haji Japar ketika merasmikan buku berkenaan.
Dato Seri Setia Dr. Haji Japar ketika merasmikan buku berkenaan.
Salah seorang wakil Perpustakaan Awam dan Perpustakaan Institusi Pengajian Tinggi menerima buku wakaf daripada tetamu kehormat majlis.
Salah seorang wakil Perpustakaan Awam dan Perpustakaan Institusi Pengajian Tinggi menerima buku wakaf daripada tetamu kehormat majlis.
Antara yang hadir dalam majlis tersebut.
Antara yang hadir dalam majlis tersebut.

“Namun ada kalanya orang berhutang tidak melunaskan hutangnya apabila sampai masa untuk membayarnya, tidak cukup dengan pelbagai dalih yang diberikan, sanggup pula menyembunyikan diri semata-mata untuk mengelak membayar hutang. Bahkan ada yang sanggup menyembunyikan harta semata-mata mengelak daripada dituntut membayar hutang,” katanya.

Dato Seri Setia Dr. Haji Japar turut menasihatkan umat Islam agar menjauhkan diri daripada berhutang kecuali apabila benar-benar diperlukan, kerana hutang bukan sahaja menjadi beban di dunia, bahkan juga setelah meninggal dunia jika masih belum dilunaskan.

Pada majlis pelancaran buku setebal 71 muka surat itu, Dato Seri Setia Dr. Haji Japar turut menyerahkan buku terbitan khas untuk Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) yang akan dijadikan cenderamata sempena ulang tahun penubuhannya ke-25, kepada Ahli Lembaga Pengarah TAIB, Awang Maswadi bin Haji Mohsin.

Beliau juga menyerahkan wakaf bagi Perpustakaan Awam dan Perpustakaan Institusi Pengajian Tinggi.

Buku yang dilengkapi dengan beberapa amalan, zikir dan doa pembuka pintu rezeki dan membebaskan diri daripada hutang itu akan dijual dengan harga $3 senaskhah.

ARTIKEL YANG SAMA