Kebersihan asas keimanan

Kebersihan asas keimanan

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 26 Feb – Agama Islam amat mementingkan soal kebersihan dan kesihatan agar suasana lebih selesa dalam semua keadaan sama ada ketika beribadat atau sebaliknya.

Khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini menekankan soal kebersihan dan kesihatan yang menurutnya adalah asas kepada keimanan seseorang. Ini terbukti, apabila umat Islam ingin mendirikan solat, maka dia perlu menjaga kebersihan diri, pakaian dan tempat sembahyangnya daripada segala jenis najis dan kekotoran.

Menurut khatib lagi, umat Islam perlu peka dan bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan masjid, surau dan mana-mana tempat ibadat agar sentiasa dalam keadaan bersih, termasuklah kemudahan-kemudahan yang ada seperti tandas, tempat berwuduk dan sebagainya.

Islam juga mementingkan kebersihan tubuh badan umatnya yang disunatkan mandi, mencukur misai, memotong kuku serta mencukur bulu kerana ia amalan yang dituntut dalam Islam.

Khatib seterusnya menekankan amalan menjaga kebersihan tubuh badan mempunyai hikmah tersendiri dan mengekalkan kesihatan serta dapat menjauhkan umat Islam daripada segala jenis penyakit kerana ia juga melambangkan kecantikan, kekemasan, kebersihan, nilai personaliti orang Islam dan amalan Sunah Rasulullah S.A.W.

Menurut khatib lagi, ibadah wuduk itu sendiri memiliki kedudukan tersendiri di sisi Allah S.W.T dan merupakan kunci kepada ibadah mulia, sembahyang yang mana sebelum solat, badan kita hendaklah bersih dan jiwa dikosongkan daripada memikirkan apa jua perkara yang berkaitan dengan kehidupan seharian.

Air yang digunakan untuk berwuduk pula bukan sekadar untuk menyegarkan tubuh badan, malah mengembalikan tenaga untuk mengerjakan ibadah sembahyang yang sempurna.

“Mereka yang sentiasa berwuduk dan mengangkat wuduk dengan sempurna akan mendapat banyak kelebihan daripada Allah S.W.T, antaranya; meningkatkan darjat seseorang di sisiNya dan diberi ganjaran syurga di akhirat. Mereka yang berwuduk dengan sempurna akan dihapuskan segala dosa-dosa besar,” kata khatib.

Khatib turut menyarankan agar umat Islam membersihkan diri, berhias dan memakai pakaian yang bersih serta mengenakan harum-haruman semasa bersolat terutamanya solat berjemaah, agar jemaah di sebelahnya akan sama-sama khusyuk dalam menunaikan ibadat sembahyang.

ARTIKEL YANG SAMA