Kebersihan tanggungjawab bersama

Kebersihan tanggungjawab bersama

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Okt – Dalam usaha untuk menggalakkan setiap penduduk untuk memikul tanggungjawab menjaga kebersihan kawasan kampung, Majlis Perundingan Mukim Kota Batu dan majlis perundingan kampung di bawahnya dengan kerjasama Jabatan Daerah Brunei dan Muara pagi tadi telah mengadakan kempen kebersihan di kawasan letak kereta Kampung Sungai Bunga dan kawasan sekitarnya.

Kempen kebersihan ini adalah sebagai usaha berterusan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri yang diharap dapat menyatukan penduduk-penduduk mukim dan kampung dalam sama-sama bekerjasama menjaga kebersihan.

Penghulu Mukim Kota Batu, Awang Naim bin Haji Kamis ketika ditemui menjelaskan bahawa kempen ini diharap akan dapat memberi kesedaran kepada penduduk kampung bahawa kebersihan itu adalah amat penting dalam kehidupan manusia terutama untuk mengelakkan dan menjauhkan daripada penyakit-penyakit yang merebak masa ini, seperti virus Zika.

Awang Naim ketika ditemui Media Permata.
Awang Naim ketika ditemui Media Permata.

Selain bagi menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam menekankan kepentingan kebersihan, melalui kempen ini juga orang ramai dapat berfikir dengan cara yang lebih sihat dengan adanya pemandangan yang bersih dan aman.

Di samping itu, suasana dan tempat yang bersih juga boleh menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke negara ini.

Kempen tersebut difokuskan di kawasan Mukim Kota Batu dan kawasan Kampung Belukut dan ia telah disertai oleh penduduk Kampung Sungai Bunga dan Kampung Sungai Belukut serta ahli dan kakitangan dari Jabatan Daerah Brunei dan Muara.

ARTIKEL YANG SAMA