Kebimbangan krisis ekonomi global, dirasai

Kebimbangan krisis ekonomi global, dirasai

Oleh Azlan Othman

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Jan – Tahun Baru telah menjejaskan sedikit keceriaan dengan ancaman-ancaman kemelesetan ekonomi global yang semakin mendekati.

Negara-negara di seluruh dunia mengawal perbelanjaan dan memperkenalkan apa jua pembaharuan untuk mengelakkan kemungkinan berulangnya krisis kewangan global 2008 dan Brunei juga tidak berbeza kerana ia tidak terlepas daripada kesan kemerosotan ekonomi global.

Orang ramai telah berkongsi dengan pihak media mengenai kebimbangan mereka berikutan kejatuhan harga minyak, kenaikan kos sara hidup dan pertumbuhan ekonomi yang semakin perlahan.

“Ia menyebabkan ketidakpastian dan ketakutan akan kehilangan pekerjaan yang dengan mudah boleh merosot menjadi kemelesetan,” seorang profesional perempuan yang bekerja dengan industri minyak dan gas, yang tidak ingin dikenali, berkata mengenai penurunan harga minyak global.

Menekankan penemuan oleh Pusat bagi Penyelidikan Strategik dan Dasar (CSPS), sebuah kumpulan pemikir kerajaan, beliau berkata bahawa situasi kini tidak cerah seperti yang kita inginkan.

Memetik daripada kajian itu, beliau berkata bahawa 60 peratus rakyat tidak dapat menampung perbelanjaan lebih daripada dua bulan dan 36 peratus tidak dapat menampung perbelanjaan selama sebulan jika mereka kehilangan pendapatan mereka.

Walaupun simpanan meningkat mengikut usia, hanya 36 peratus daripada mereka yang berusia 50 tahun ke atas mampu menampung sekurang-kurangnya enam bulan perbelanjaan.

Harga minyak meningkat sedikit hari ini, masih dalam paras terendah 11 setengah tahun, didorong oleh pemulihan dalam saham-saham China, namun bekalan berlebihan global yang berterusan dan ramalan permintaan yang suram dijangka menghentikan peningkatan akan datang.

Harga minyak menjunam ke paras terendah 12 tahun kelmarin kepada AS$32.16, kali terakhir dilihat pada 2004.

Beliau juga membangkitkan kebimbangannya mengenai kenaikan kos sara hidup, “anak saya baru sahaja memasuki sebuah sekolah swasta dan ia memakan belanja $200 untuk membeli buku-buku teks bagi seorang.

“Bayangkan, jika kamu mempunyai empat atau lima anak,” katanya, sambil menambah, bonus tahunan merupakan kelegaan bagi ramai orang.

Sementara itu, Pengerusi Bersama Lembaga Eksekutif Perikatan Makanan dan Minuman ASEAN bagi Brunei Darussalam (AFBA), Awang Hallim Saim yang merupakan ahli perniagaan tempatan, memuji titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam baru-baru ini yang mengumumkan penubuhan Pusat PKS.

“Untuk mempromosikan PKS, agensi-agensi kerajaan yang berkaitan mestilah duduk bersama dengan ahli-ahli perniagaan yang bukan sahaja mempunyai kepakaran akademik, tetapi juga banyak pengalaman.

“Tetapi untuk memperbaiki PKS (perusahaan kecil dan sederhana), kita juga mesti mempertimbangkan keadaan PKS mikro yang menjual produk-produk di tamu dan kedai-kedai kecil serta di kediaman mereka,” ujar beliau sambil menambah, ketika membeli produk-produk daripada PKS mikro ini kita tidak patut meminta diskaun kerana mereka mengaut keuntungan beribu-ribu, namun hanya mencukupi bagi menyara kehidupan mereka.

Menurutnya lagi, kerajaan juga patut berusaha untuk mengurangkan subsidi ke atas beberapa barangan tertentu, seperti gula. Cukai patut dikenakan ke atas gula, yang boleh mengurangkan penggunaannya dan mencegah masalah obesiti.

“Mencegah lebih baik daripada merawat,” tambahnya.

Seorang pekerja swasta yang tidak ingin dikenali pula berkata, dengan harga barangan utama meningkat dan gaji kekal sama, beliau seperti kebanyakan yang lain, sukar untuk menampung keperluan harian.

Katanya, harga mi segera jenama Indomie yang terkenal telah meningkat kepada $2 daripada $1.50, sementara lampin jenama Mamypoko kini berharga $16 bagi 28 keping berbanding $13 sebelumnya.

Sardin jenama Yeo’s juga telah meningkat, dengan kini berharga $3.20 berbanding $2.69, malah harga ayam juga meningkat, tambahnya.

Sementara itu, seorang pegawai bank di sebuah institusi kewangan Islam yang hanya ingin dikenali sebagai Haji, juga meluahkan kebimbangan mengenai situasi ekonomi pada masa ini.

“Di samping projek-projek Jambatan Temburong dan Jambatan Sungai Kebun, tiada projek-projek pembinaan lain akan dilaksanakan dan sektor ini hampir terhenti. Syarikat-syarikat kini bergantung pada projek-projek sedia ada dan sedang berjalan sahaja.

“Pasaran perlahan telah menjejaskan pertumbuhan dan kesan gelombang itu telah memberi kesan ke pada seluruh industri,” katanya.

“Anda boleh lihatnya daripada statistik penjual auto. Kereta-kereta paling popular kini adalah yang mempunyai kapasiti enjin kecil iaitu di bawah 1.5 liter,” tambahnya.

“Duit kita keluar ke pekan-pekan jiran, terutamanya dalam musim bonus, kerana kadar pertukaran yang tinggi sebanyak RM3 bagi setiap $1.

“Pihak berkuasa patut melihat perkara ini dengan lebih serius. Bukannya kita tidak patriotik, tetapi ramai pencari rezeki adalah daripada kumpulan pendapatan sederhana dan mereka mahu berbelanja ke atas produk-produk lebih murah yang terdapat di seberang sempadan,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA