Saham syarikat penerbangan naik 2 peratus pada Sept

Saham syarikat penerbangan naik 2 peratus pada Sept

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) – Saham syarikat penerbangan naik dua peratus pada September berbanding Ogos, disokong oleh harga bahan api pesawat yang lebih rendah dan harga minyak mentah yang murah, demikian menurut laporan terkini Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Harga minyak terus turun pada Ogos dan September, dengan paras penurunan di bawah AS$50 setong, jatuh 22 peratus berbanding Julai.

Dalam laporan Pemantauan Kewangan Syarikat Penerbangannya, IATA berkata saham syarikat penerbangan menunjukkan prestasi yang baik setelah turun empat peratus.

“Di peringkat dunia, pasaran kewangan dipengaruhi oleh perkembangan di beberapa pasaran paling ketara di China.

“Harga saham syarikat penerbangan, bagaimanapun, disokong oleh keputusan kewangan suku kedua yang kukuh, serta penurunan ketara harga minyak,” kata IATA dalam laporan itu.

Menurut persatuan itu, prestasi kewangan industri syarikat penerbangan kukuh sehingga pertengahan tahun dengan keputusan suku kedua menunjukkan peningkatan besar keuntungan di Amerika Syarikat dan Asia Pasifik tetapi turun di Amerika Latin.

Di Asia Pasifik, prestasi disokong oleh langkah pengurangan kos dan tekanan kos bahan api.