Kebocoran ammonia di Sipitang, 2 maut

Kebocoran ammonia di Sipitang, 2 maut

SIPITANG, 16 Ogos – Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) mengesahkan kebocoran ammonia berlaku di loji Petronas Chemicals Fertiliser Sabah Sdn Bhd (PCFSSB) di Sipitang, Sabah pada 9:30 pagi ini.

Dalam kenyataan di sini hari ini, Pertonas Chemicals berkata pasukan respons kecemasan syarikat itu segera dikerah ke tempat kejadian dan kebocoran berjaya dikawal.

Katanya, lima pekerja kontrak PCFSSB terjejas dalam kejadian itu.

“Syarikat ini dengan dukacita memaklumkan bahawa dua kematian dilaporkan. Tiga petugas lain diberi rawatan perubatan sewajarnya,” kata kenyataan itu.

Menurutnya, PCFSSB telah menghulurkan semua bantuan yang diperlukan kepada mereka yang terjejas dan anggota keluarga masing-masing.

“Kejadian itu tidak memberi ancaman segera terhadap masyarakat sekeliling atau alam sekitar dan siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca kebocoran,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Sipitang DSP Awang Arshad Awang Bakar yang dihubungi melalui WhatsApp berkata mereka yang meninggal dunia terdiri daripada seorang rakyat tempatan dan seorang warga asing.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dua mangsa yang terkorban dalam insiden kebocoran ammonia serta menyatakan rasa sedih berikutan insiden itu. – Bernama