Kebocoran gas di Seria terkawal

Kebocoran gas di Seria terkawal

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 22 Nov – Kebocoran gas yang berlaku di kawasan Simpang 30 Jalan Raja Isteri Seria yang belum diketahui puncanya, kini dalam kawalan pihak Bomba dan Penyelamat.

Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi ‘B’ Daerah Belait, Superintenden Kanan Mohd Shahreeni bin Haji Mohd Yusof memberikan jaminan ini ketika ditemu ramah Media Permata berikutan pesanan ringkas yang tersebar dalam aplikasi mudah alih WhatsApp mengenai gas bocor yang dikatakan beracun.

Pesanan itu mengandungi mesej yang mengatakan bahawa terdapat kejadian gas bocor yang beracun di kawasan yang dinyatakan dan memberi amaran kepada para pengguna jalan raya di kawasan itu agar mengelakkan daripada melalui jalan di sana.

Menurut Mohd Shahreeni, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian gas bocor lalu bergegas menggerakkan jentera berat dan pasukan HAZMAT ke tempat berkenaan untuk membuat pemeriksaan menyeluruh dan gas tersebut dikatakan telah bocor melalui salah satu paip bawah tanah yang menyalurkan gas kepada rumah-rumah di kawasan berdekatan.

Beliau berkata, laporan terkini yang diterima mengenai kejadian tersebut, setelah pemeriksaan menggunakan alat pengesan yang diguna pakai oleh pasukan ‘HAZMAT’, telah mendapati bahawa gas berada dalam lingkungan 100 meter dari tempat asal atau puncanya (source) dan belum merebak ke mana-mana kawasan perumahan atau tempat tinggal penduduk sekitar.

“Pasukan HAZMAT kami sedang menganalisis dan mengawasi tahap kebocoran gas tetapi buat masa ini ia sudah berada di dalam kawalan pihak bomba, dan isu tersebut belum berada di tahap yang membahayakan sehingga boleh menyebabkan jalan raya tidak dapat digunakan oleh pengguna-pengguna jalan raya di kawasan berikut, dan menurut laporan terkini juga pasukan HAZMAT telah berjaya mengasingkan (isolate) dan menutup ‘valve’ yang menjadi punca gas bocor tersebut,” jelas beliau.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan pesanan ringkas WhatsApp tersebut yang boleh menyebabkan keadaan panik dalam kalangan masyarakat selagi belum ada pengesahan sahih daripada agensi yang berwajib untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.