Kebudayaan satukan Komuniti ASEAN

Kebudayaan satukan Komuniti ASEAN

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Sept – Kebudayaan boleh digunakan untuk menjana kefahaman antara satu sama yang lain, sekali gus boleh mengelakkan berlaku konflik serta mempromosikan toleransi terhadap perbezaan satu sama yang lain menerusi penglibatan golongan belia ASEAN.

Harapan itu disuarakan oleh Timbalan Setiausaha Agung ASEAN bagi Komuniti Sosiobudaya, Vongthep Arthakaivalvatee ketika ditemui oleh Media Permata selepas Mesyuarat Menteri-menteri ASEAN yang Bertanggungjawab bagi Kebudayaan dan Kesenian (AMCA) ke-7 di Bandar Seri Begawan, baru-baru ini.

Beliau berkata bahawa kebudayaan yang unik setiap negara anggota ASEAN boleh digunakan oleh golongan belia negara-negara anggota ASEAN untuk memahami antara satu sama yang lain dan mengeratkan lagi hubungan mereka bagi benar-benar menjana sebuah Komuniti ASEAN yang bersatu tanpa sebarang konflik.

Beliau juga berkata, kebudayaan dan kesenian memainkan peranan mereka yang tersendiri untuk mempromosikan semangat bersatu-padu dan kefahaman antara satu sama yang lain.

Sementara itu, mengulas mengenai Negara Brunei Darussalam dan kepimpinannya bagi tempoh sebagai pengerusi AMCA, Vongthep berkata bahawa Brunei akan memainkan peranan yang penting selaku pemimpin yang akan menerajui hala tuju perbincangan isu-isu dan mempromosikan kebudayaan di rantau ASEAN.

Vongthep ketika ditemu bual berkata, kebudayaan dan kesenian boleh digunakan untuk meningkatkan lagi kefahaman dalam kalangan negara ASEAN.
Vongthep ketika ditemu bual berkata, kebudayaan dan kesenian boleh digunakan untuk meningkatkan lagi kefahaman dalam kalangan negara ASEAN.

Beliau juga berkata, semasa Mesyuarat AMCA ke-7, menteri-menteri ASEAN yang bersidang telah mempersetujui untuk menyokong pelan kerja strategik bagi kebudayaan dan kesenian bagi tempoh 2016 hingga 2025 yang akan bertindak untuk membimbing mereka dalam pelbagai tindakan yang dilaksanakan berhubung dengan kebudayaan dan kesenian.

Di samping itu, ulasnya, perkara yang sering diketengahkan dalam perbincangan semasa mesyuarat itu ialah kaedah terbaik untuk membangunkan kefahaman menerusi kesenian dan kebudayaan sebagai salah satu cara untuk mengelakkan konflik dan meningkatkan kefahaman mengenai perbezaan di antara satu sama yang lain serta juga untuk menggalakkan penyertaan belia dalam pembangunan Komuniti ASEAN.

Beliau juga mengulas mengenai Bandar Seri Begawan yang diisytiharkan sebagai Bandar Kebudayaan ASEAN bagi tempoh dua tahun di mana pelbagai kegiatan kebudayaan sedang dirancang dan akan diadakan di Brunei untuk mempromosikan kebudayaan dan kesenian ASEAN.

Pada masa yang sama, China, Jepun dan Korea turut menyatakan minat dalam mengukuhkan lagi kerjasama dengan Brunei untuk meningkatkan promosi dan pertukaran kebudayaan dan kesenian melalui inisiatif Bandar Kebudayaan Asia Timur.

ARTIKEL YANG SAMA