Kebun dalam bandar raya

Kebun dalam bandar raya

KUALA LUMPUR – Membelakangi bebola matahari di kaki langit, di bawah tali-tali lebar elektrik, susuk tubuh Shaharudin Jaafar kelihatan kelam. Meskipun sedikit lelah, lelaki berusia 76 tahun ini, masih mampu tersenyum ceria apabila menyedari penulis mengambil gambar beliau.

“Sekejap ya Ainul, ‘uncle’ nak siram pokok dahulu,” ujarnya kepada penulis yang sedang menunggu beliau untuk ditemuramah. Suasana lewat petang di Kebun Komuniti Seksyen Lapan Shah Alam damai dalam kehijauan pepohon renek seperti bendi, limau, nanas, jagung dan Roselle. Di sana-sini merah cili dan ungu terung menyerlah, menyerikan suasana. Beberapa penduduk kelihatan turut mengusahakan tanaman masing-masing.

Jimat dan erat silaturrahim

Tanah seluas kira-kira lima ekar berdekatan Taman Botani Negara itu, telah diratakan dan disiapkan batas untuk bercucuk-tanam oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA). “Apabila semua sudah siap, barulah kita panggil dan tawarkan kepada penduduk yang berminat untuk ‘join the programme’.

“Kita caj RM30 sahaja setahun sebagai yuran komitmen,” jelas Penolong Pegawai Pertanian Mohd Yusof Marsim dari Jabatan Landskap MBSA kepada Bernama. Setakat ini, terdapat 10 buah kebun komuniti di sekitar Shah Alam termasuklah kebun di Seksyen 8 sebagai projek perintis.

Sebagai permulaan biji benih dan tangki air turut disediakan MBSA. Menurut Mohd Yusof, kebun komuniti diwujudkan bukan sahaja untuk mencantikkan lanskap bandaraya ini, malah untuk membantu penduduk mengurangkan kos sara hidup.

Suasana lewat petang di Kebun Komuniti Seksyen Lapan Shah Alam damai dalam kehijauan pepohon renek seperti bendi, limau, nanas, jagung dan Roselle. Di sana-sini merah cili dan ungu terung menyerlah, menyerikan suasana.
Suasana lewat petang di Kebun Komuniti Seksyen Lapan Shah Alam damai dalam kehijauan pepohon renek seperti bendi, limau, nanas, jagung dan Roselle. Di sana-sini merah cili dan ungu terung menyerlah, menyerikan suasana.
Beberapa penduduk turut mengusahakan tanaman masing-masing.
Beberapa penduduk turut mengusahakan tanaman masing-masing.

“Sebenarnya lebih pada mengurangkan kos tersembunyi. Contohnya, nak pergi kedai beli sayur, sayur murah sahaja, mungkin RM2 sekilo, tapi ditambah duit minyak, kemudian anak yang ikut nak beli jajan atau mainan, akhirnya duit yang keluar RM20,” hurainya panjang lebar.

Dengan adanya kebun berkenaan, MBSA dapat menggalakkan para penduduk mengambil tahu dan berhubung dengan jiran-jiran mereka. “Kalau mereka berbeza pendapat tentang isu lain, melalui kebun ini sekurang-kurangnya mereka ada topik yang boleh dibualkan,” katanya lagi.

Aktiviti pesara

Bagi Shaharudin pula, beliau menganggap berkebun sebagai satu riadah atau senaman untuk pesara sepertinya. Beliau yang bersara sebagai Pegawai Kemajuan Sukan, Kementerian Belia dan Sukan Selangor pada 1994, aktif dalam aktiviti komuniti, khususnya bersama Persatuan Penduduk Seksyen Lapan Timur, Shah Alam, sebagai pengerusi.

Shaharudin sebenarnya sudahpun berkebun secara kecil-kecilan sejak 15 tahun dahulu, dan pernah membela itik untuk jualan komersial. Bagaimanapun kisah hidupnya bukanlah seringkas itu. Shaharudin pernah muncul wira negara apabila beliau membawa pulang emas Sukan Asia 1970 di Bangkok menerusi acara berbasikal.

Beliau adalah individu penting yang mengangkat kembali martabat sukan berbasikal tanahair selepas prestasi sukan itu merundum teruk pada Sukan SEAP (South East Asia Peninsular Games) 1969 di Rangoon, Burma.

Tanah seluas kira-kira lima ekar berdekatan Taman Botani Negara itu telah diratakan dan disiapkan batas untuk bercucuk-tanam oleh MBSA.
Tanah seluas kira-kira lima ekar berdekatan Taman Botani Negara itu telah diratakan dan disiapkan batas untuk bercucuk-tanam oleh MBSA.

Kini beliau bersama isteri Hasmah Ibrahim, 74, selesa mengatur jadual harian dengan aktiviti keagamaan dan masyarakat, di samping sibuk melayan karenah 11 cucu daripada tiga orang anak lelaki mereka.

Tanaman segar dan organik

Menurut Shaharudin, kebanyakan ahli kebun komuniti terdiri daripada para Pesara. Mereka menanam sayur-sayuran untuk kegunaan sendiri dan ada juga yang menjual hasil tanaman kepada restoran berdekatan seperti serai dan limau kasturi yang banyak digunakan dalam menu ala Thailand serta minuman.

“Kalau setakat sayur-sayuran seperti bayam dan kangkung, itu memang kita tak perlu beli dan kalau ada lebih selalunya kita sedekah sahaja. “Tetapi kita juga ada perancangan untuk berniaga sebab kita tak mahu bergantung pada bantuan MBSA sampai bila-bila,” katanya.

Justeru, pihaknya kini merancang untuk membuka pusat jualan di kebun itu di mana orang ramai boleh mendapatkan sayur-sayuran yang segar dan bersifat organic. Katanya, di kebun komuniti mereka menggunakan baja kompos yang dihasilkan sendiri. Antaranya mereka menggunakan sisa dapur yang diperoleh daripada kawasan kejiranan menerusi Program “Zero Waste”. Tambah beliau, program anjuran persatuannya itu adalah untuk mendidik penduduk setempat mengasingkan sisa pepejal dan menggalakkan amalan kitar semula.

“Memang seronok dapat makan hasil yang kita tanam sendiri. Memang sangat Berbaloi. “Pada mana-mana kumpulan yang berminat untuk mengusahakan kebun komuniti, yang hendak mendapatkan nasihat dan cadangan boleh sahaja hubungi pihak kami,” pelawanya mesra. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA