Kecanggihan teknologi bakal ubah ekonomi global

Kecanggihan teknologi bakal ubah ekonomi global

KUALA LUMPUR, 10 Okt – Kecanggihan teknologi seperti data raya dan kepintaran buatan akan mengubah ekonomi global melalui keupayaannya mempercepatkan inovasi, meningkatkan semula pertumbuhan produktiviti dan mewujudkan lebih banyak permintaan sofistikated.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Muhammad Ibrahim berkata kemunculan teknologi berkenaan akan mempercepatkan peningkatan industri bernilai tinggi, daripada kecanggihan pembuatan hingga perkhidmatan berteknologi tinggi, yang secara tradisinya menjadi kelebihan negara maju.

“Penyepaduan kecanggihan pembuatan dan perkhidmatan melalui Internet Kebendaan (Internet of Things) ketika ini adalah penguasaan negara maju, yang menyumbang kepada 20 syarikat paling terkemuka dalam bidang teknologi.

“Memandangkan kecanggihan teknologi terus meningkatkan kemampuan produk akhir, perluasan pasaran pengguna di negara pesat membangun dilonjakkan lagi oleh peningkatan pendapatan serta dinamisme negara maju dan pesat membangun.

“Inilah prospek positif bagi negara-negara ini,” katanya dalam ucapan di Seminar Perbankan Antarabangsa G30 Tahunan kali ke-31 pada Ahad.

Teks ucapan beliau dikeluarkan di sini, hari ini.

Seminar itu berlangsung di luar Mesyuarat-mesyuarat Tahunan Dana Kewangan Antarabangsa-Bank Dunia di Washington DC, Amerika Syarikat.

Muhammad berkata pembuat dasar mungkin perlu membangunkan sistem pengawalseliaan baharu yang fleksibel untuk menyesuaikan, selain kukuh dalam menguruskan kecanggihan teknologi yang pesat.

Kewujudan persekitaran yang boleh mempercepatkan kebangkitan ‘ekonomi sebenar baharu’ merupakan cabaran segera kepada pembuat dasar, katanya.

“Daripada perspektif pasaran pesat membangun, aspek penting di sini adalah ketersediaan infrastruktur, yang cenderung ke arah ekonomi baharu.

“Mengikut senario baharu tersebut, kesalinghubungan maya bukan lagi satu aspirasi, tetapi sesuatu yang amat penting,” kata Muhammad.

Gabenor berkata pengantaraan kewangan merupakan contoh yang baik bagaimana teknologi disruptif semakin mengubah landskap kewangan.

“Ketika ini, syarikat teknologi kewangan (fintech) adalah pesaing utama kepada bank-bank dan mencetuskan penilaian semula kepada sistem kewangan kita.

‘Selfie pay’ atau Pemeriksaan Identiti Secara Mudah Alih telah dilaksanakan secara langsung di negara-negara Eropah,” katanya.

Berkaitan itu, beliau berkata, fintech dibangunkan seiring dengan perubahan tingkah laku dan keperluan pengguna, iaitu keutamaan bagi kepantasan, keselesaan, keselamatan serta kesepakatan.

“Oleh itu, pembuat dasar perlu memastikan pengawalseliaan adalah fleksibel, dan sepadan dengan risiko kecanggihan teknologi. Dasar-dasar juga tidak boleh mengekang pertumbuhan, dan masa yang sama, tidak menjejaskan ekonomi berdaya tahan,” kata Muhammad. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA