Kecederaan hancurkan impian Kaka

Kecederaan hancurkan impian Kaka

LOS ANGELES, 2 Jun – Krisis kecederaan yang melanda skuad Brazil makin parah selepas pemain perancang veteran mereka, Kaka terpaksa menarik diri daripada persaingan Copa America Centenario berikutan kecederaan hamstring hanya tiga hari sebelum aksi pembuka tirai menentang Ecuador.

Tonggak Orlando City berusia 34 tahun itu pada awalnya tidak sabar untuk membuat penampilan pertama pada saingan paling elit benua Amerika Selatan tetapi impian itu berkecai selepas mengutip kecederaan semasa sesi latihan di kem pasukan berdekatan Los Angeles.

Gambar fail – Kaka terlepas untuk bersaing dalam Copa America Centenario setelah mengalami kecederaan hamstring. – AFP
Gambar fail – Kaka terlepas untuk bersaing dalam Copa America Centenario setelah mengalami kecederaan hamstring. – AFP

“Kaka berasa tidak selesa pada latihan dan ujian imbasan MRI menunjukkan ada masalah kecil. Doktor membayangkan dia memerlukan antara 15 hingga 20 hari untuk pulih,” kata pegawai Konfederasi Bola Sepak Brazil, Gilmar Rinaldi.

Bekas pemain terbaik dunia FIFA 2007 itu akan digantikan pemain Sao Paulo, Paulo Henrique Ganso.

Pegawai Brazil sudah pun bercakap dengan Sao Paulo untuk melepaskan dia dan sedang menunggu kelulusan rasmi daripada CONMEBOL.

Selain Kaka, sebelum ini Brazil kehilangan empat pemain iaitu tonggak Bayern Munich Douglas Costa, Ricardo Oliveira (Santos), Rafinha (Barcelona) dan penjaga gol Benfica, Ederson. – AFP

 

ARTIKEL YANG SAMA