Kecederaan Krul ‘tamparan hebat’ Newcastle

Kecederaan Krul ‘tamparan hebat’ Newcastle

LONDON, 14 Okt – Kecederaan penamat musim yang dialami penjaga gawang Belanda, Tim Krul adalah “tamparan hebat” ke atas Newcastle United, menurut pengurus skuad itu, Steve McClaren. Krul akan terlepas bermain keseluruhan baki musim selepas mengalami kecederaan di bahagian ligamennya dalam perlawanan yang menyaksikan Belanda menang 2-1 ke atas pasukan Kazakhstan pada Sabtu lepas.

Krul kelihatan menderita kesakitan selepas terjatuh ketika hampir penamat permainan.

Newcastle, yang tercorot dalam liga selepas lapan perlawanan tanpa sebarang kemenangan dan melepaskan 17 gol meskipun ketika Krul bersama-sama pasukan, kemungkinan akan menyerahkan tugas itu kepada Rob Elliot ketika kunjungan menentang Norwich City pada Ahad ini. “Ia satu tamparan hebat kepada Tim dan juga kami,” McClaren memberitahu laman sesawang kelab (nufc.co.uk). “Saya bercakap dengan beliau pada pagi sebelum perlawanan yang beliau tidak bermain, dan saya menyatakan ia bagus, kerana kemudiannya beliau cukup bersedia untuk kami.

“Kemudian tiba-tiba saya mendapat berita, tahap keterukan kecederaan dan bagaimana beliau mendapatnya kecederaan itu, dan ia satu tamparan yang besar.

“Tim adalah amat penting bagi kami – dia pemain yang hebat. Kami akan kehilangan beliau sepanjang baki musim ini dan dia kehilangan tujuh atau lapan bulan kariernya.”

Sebelum ini pun Newcastle terpaksa memanggil semula khidmat pemain berusia 18 tahun, Freddie Woodman yang bermain secara pinjaman dengan kelab Crawley Town bagi menggantikan Elliot. McClaren berkata beliau yakin pemain antarabangsa warga Republik Ireland, Elliot akan mampu mengendalikan tekanan. – Reuters