Kecederaan Messi kian pulih

Kecederaan Messi kian pulih

BUENOS AIRES, 29 Mei – Keadaan Lionel Messi semakin baik selepas bintang Argentina itu mengalami cedera belakang ketika Argentina menewaskan Honduras 1-0 dalam aksi perlawanan pemanasan badan sebelum Copa Amerika Centenario, kelmarin.

Satu laporan daripada pegawai pasukan perubatan diketuai doktor Daniel Martinez memberitahu akhbar La Nacion, pemain itu sudah merasakan kesakitan semakin berkurangan di bahagian bawah belakangnya sehari selepas menderita akibat pelanggaran dengan pemain lawan di San Juan.

“Messi semakin pulih dengan kesakitan semakin berkurangan malam semalam. Proses pemulihannya adalah secara hari demi hari, terdapat beberapa rawatan terhadap kecederaan seperti ini,” kata Martinez.

Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) dalam satu kemas kini mengenai kecederaan itu di laman web rasminya berkata, Messi mengalami lebam di bahagian tulang besar dan tisu lembut di bahagian rusuk kiri dan kawasan ‘paraspinal lumbar’.

Messi berdepan kecederaan itu ketika pelanggaran dengan pemain Honduras, Oliver Morazan, sekali gus menimbulkan kebimbangan Argentina terhadap bintang mereka itu dalam persiapan pasukan ke Copa Amerika Centenario di Amerika Syarikat, bulan depan.

Messi dibantu keluar dari padang akibat mengalami kecederaan. – AFP
Messi dibantu keluar dari padang akibat mengalami kecederaan. – AFP

Messi terus diganti sebaik saja insiden dan dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjutan, Jumaat lalu.

Messi terus berada di hotel penginapan pasukan semalam tatkala Argentina terus berlatih di Estadio Bicentenario di San Juan.

Pemain terbaik dunia sebanyak lima kali itu dijadual berlepas ke Sepanyol bagi pendengaran kes berkaitan penipuan cukai yang dijangka berlangsung selama dua hari, minggu depan.

Pasukan dalam pada itu dijangka berlepas ke bandar California di Santa Clara yang berada di luar San Francisco, penempatan mereka sebelum membuka tirai perlawanan Copa Amerika bertemu Chile, 6 Jun ini.

Messi dijangka menyertai semula skuad kebangsaan Argentina di California sebelum perlawanan pertama kejohanan. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA