Kecekalan Campbell ceriakan kanak-kanak sakit

Kecekalan Campbell ceriakan kanak-kanak sakit

DIDORONG oleh keinginan untuk membawa kegembiraan kepada orang lain, Campbell Remess telah belajar menjahit ketika masih berusia sembilan tahun, dan dalam tempoh tiga tahun kebelakangan itu beliau telah menghasilkan 800 anak patung untuk diberikan kepada kanak-kanak yang sakit di hospital.

Semuanya bermula tiga tahun lalu, ketika Campbell meminta ibu bapanya jika mereka boleh membelikan hadiah-hadiah Krismas untuk diberikan kepada kanak-kanak yang ditahan di hospital. Mereka tersentuh dengan kebaikan Campbell, tetapi memberitahunya bahawa membeli terlalu banyak mainan memakan belanja yang sangat besar.

Beliau mempunyai sembilan orang adik-beradik, untuk membelikan mereka semua hadiah sudah cukup sukar bagi ibu bapanya. Namun Campbell tidak mahu menjadikan jawapan ‘tidak’ itu melemahkan semangatnya untuk membawa kegembiraan kepada kanak-kanak yang menghadapi situasi sukar, jadi beliau membuat keputusan untuk menghasilkan hadiah dengan usaha sendiri.

Ibu Campbell, Sonya Whittaker, berfikir ia merupakan satu idea yang bagus, dengan menyangka anaknya akan menghasilkan beberapa lukisan. Tetapi Campbell menemuinya dengan corak bagi anak patung haiwan yang ditemuinya dalam talian, bertanyakan jika ibunya pandai membuatnya.

Sonya bergelut memikirkannya, tetapi lama-kelamaan Campbell sendiri berjaya memahami corak untuk menghasilkan anak patung haiwan itu. Campbell meminta izin ibunya untuk menggunakan mesin jahit bagi menghasilkan anak patung haiwan itu, dan ibunya bersetuju dengan syarat Campbell berhati-hati menggunakannya.

Campbell yang berusia sembilan tahun itu mengambil masa lima jam untuk mencipta anak patung haiwan pertamanya.
Campbell yang berusia sembilan tahun itu mengambil masa lima jam untuk mencipta anak patung haiwan pertamanya.
Campbell tetap melawat Hospital Royal Hobart untuk memberikan hadiah-hadiah dan suka melihat reaksi gembira kanak-kanak di sana.
Campbell tetap melawat Hospital Royal Hobart untuk memberikan hadiah-hadiah dan suka melihat reaksi gembira kanak-kanak di sana.

Budak lelaki berusia sembilan tahun itu mengambil masa lima jam untuk mencipta anak patung haiwan pertamanya, tetapi selepas berlatih selama tiga tahun, beliau kini sudah mampu menghasilkan satu anak patung dalam masa sejam.

“Saya sangat teruja melihat anak patung beruang yang pertama dihasilkannya. Sangat teruja dan terharu, namun ia tidak mengejutkan saya mengenai ketabahannya untuk belajar,” kata Sonya.

Beberapa percubaan yang menunjukkan hasil yang baik telah mendorong Campbell semakin bagus dalam menjahit, dan mencabar dirinya untuk menghasilkan satu anak patung sehari dan didermakan kepada kanak-kanak sakit di hospital.

Campbell menghantar anak-anak patungnya kepada kanak-kanak di seluruh dunia, tetapi tetap melawat Hospital Royal Hobart di kawasan kediamannya, Bandar Hobart, Tasmania, untuk memberikan hadiah-hadiah dan suka melihat reaksi gembira kanak-kanak di sana.

“Mereka tersenyum dan ada yang memeluk saya. Ia menjadikan hari mereka lebih baik,” katanya.

Ketika mula-mula menjahit, budak lelaki itu menggunakan bahan-bahan yang disediakan oleh ibu bapanya, tetapi kini beliau bergantung pada wang dan bekalan yang didermakan oleh orang ramai yang menghargai dedikasi dan kebaikannya.