Kecekapan bantuan PBB ditambah baik

Kecekapan bantuan PBB ditambah baik

ISTANBUL, 24 Mei (Bernama) – Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon, pada Isnin melancarkan satu skim di Sidang Kemuncak Kemanusiaan Dunia Pertama bagi menambah baik kecekapan bantuan kemanusiaan sebagai sebahagian usaha merapatkan jurang pembiayaan, lapor agensi berita China, Xinhua.

“Skim Grand Bargain ini adalah satu langkah penting dalam pembiayaan kemanusiaan,” kata Ban dalam satu majlis di Pusat Kongres Istanbul, tempat berlangsungnya Sidang Kemuncak Kemanusiaan Dunia Pertama.

Ban merujuk kepada satu skim yang dibayangkan oleh panel peringkat tinggi dalam laporan induk berkaitan pembiayaan kemanusiaan, yang dikeluarkan di Dubai awal tahun ini.

Pemimpin PBB itu mendedahkan bahawa setakat ini, skim berkenaan disahkan oleh 18 negara, termasuk penyumbang utama seperti Jepun dan Amerika Syarikat, serta 16 organisasi bantuan utama seperti Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah.

Grand Bargain mempunyai 10 kategori yang perlu dipenuhi seperti ketelusan lebih tinggi, peningkatan penggunaan pengaturcaraan berasaskan tunai serta pengurangan salinan, kos pengurusan dan karenah birokrasi.

Ki-moon (kiri) berjabat tangan dengan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan sebelum Sidang Kemuncak Kemanusiaan PBB di Istancul, kelmarin. – AP
Ki-moon (kiri) berjabat tangan dengan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan sebelum Sidang Kemuncak Kemanusiaan PBB di Istancul, kelmarin. – AP

Pesuruhjaya Tinggi Eropah berkaitan Belanjawan dan Sumber Manusia, Kristalina Georgieva, yang juga pereka utama skim itu, meramalkan bahawa ia mampu menjimatkan sekurang-kurangnya AS$1 bilion kos overhed bagi tempoh lima tahun akan datang dengan mengalihkan sumber daripada penyaliran aktiviti di belakang tabir kepada penyampaian di barisan hadapan.

Dalam pada itu, mempertingkat kecekapan bantuan merupakan satu daripada topik utama sidang kemuncak dua hari berkenaan yang dihadiri sejumlah 5,200 peserta termasuk 65 ketua negara dan kerajaan selain wakil sektor swasta, organisasi antarabangsa dan kumpulan bantuan.

PBB menganggarkan bahawa terdapat antara 125 juta dan 130 juta orang di seluruh dunia yang memerlukan bantuan kemanusiaan ketika ini.

Pembiayaan yang diperlukan tahun ini dijangka mencecah sekitar AS$40 bilion berbanding AS$19.1 bilion pada tahun lepas. Bagaimanapun, setakat ini, hanya sejumlah AS$25 bilion berjaya dikumpul.

ARTIKEL YANG SAMA