Kecemerlangan bergantung pada kualiti kerja

Kecemerlangan bergantung pada kualiti kerja

Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Okt – Kecemerlangan sektor kerajaan banyak bergantung kepada prestasi dan kualiti kerja yang tinggi dan nilai-nilai murni serta rukun-rukun akhlak yang patut dimiliki oleh setiap pegawai dan kakitangan kerajaan di negara ini.

Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman berkata, setiap penjawat perkhidmatan awam perlu sentiasa bersifat jujur dan amanah semasa menjalankan tugas dan tanggungjawab serta sentiasa mengelakkan diri daripada melakukan segala bentuk sifat negatif dan dilarang.

“Di samping itu, semua pegawai dan kakitangan hendaklah sentiasa bekerja sebagai satu kumpulan dengan saling bekerjasama dan bantu-membantu agar kementerian ini akan dapat mencapai segala hasrat dan matlamatnya,” katanya semasa berucap di Majlis Penutup Penyampaian Sijil Kursus Induksi Kali Ke-4 bagi pegawai-pegawai yang baru berkhidmat di Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya yang telah berlangsung di Dewan Betabur, Kementerian Pembangunan.

Menurut beliau, kursus seumpama ini dapat memberikan pendedahan, pemahaman dan penjelasan kepada para peserta kursus mengenai dengan selok-belok pengurusan pentadbiran perkhidmatan awam di negara ini dilaksanakan.

Beliau turut menekankan mengenai dengan kepentingan dan kewajipan bagi pegawai yang baru berkhidmat dan yang sudah lama berkhidmat, untuk sentiasa mentaati dan mematuhi setiap peraturan dan arahan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, sama ada ia berbentuk akta seperti Perintah Tetap dan Peraturan Kewangan ataupun arahan-arahan lain.

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi semasa menyempurnakan penyampaian sijil kepada salah seorang peserta.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi semasa menyempurnakan penyampaian sijil kepada salah seorang peserta.

p05-2_20151021 p05-3_20151021

“Saya penuh berharap agar semua pegawai dan kakitangan di kementerian ini dan jabatan-jabatan di bawahnya akan dapat menjadi satu model pekerja yang berintegriti dan dapat sama-sama merealisasi wawasan, visi dan misi yang sama,” katanya sambil menyeru agar para pegawai yang baru berkhidmat di Kementerian Pembangunan sentiasa tekun dan komited dengan tugasan masing-masing dengan memberikan mutu perkhidmatan yang terbaik dan berkualiti tinggi dan berusaha dengan gigih.

Kursus induksi kali ke-4 itu berlangsung selama enam hari bermula pada 7 Oktober sehingga 15 Oktober bertempat di Pusat Ujian Kemahiran Kerja dan Latihan (MODTC), Kementerian Pembangunan, yang telah disertai oleh 34 orang peserta.

Kursus ini merangkumi pelbagai aktiviti termasuk taklimat-taklimat dari agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dan berkepentingan serta aktiviti kerja luar kelas secara berpasukan.

Ia antara lain bertujuan untuk memberikan pengetahuan dan pemahaman lebih lanjut mengenai fungsi dan tanggungjawab Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya agar pegawai-pegawai baru dapat sama-sama mendukung visi dan misi kementerian ini untuk menjadikan sebuah organisasi yang sentiasa peka dan menitik-beratkan layanan dan kehendak pelanggan.

Turut hadir di majlis pagi tadi ialah Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), Awang Haji Muhammad Lutfi bin Abdullah; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap, Awang Shahrom bin Haji Suhaimi dan Pemangku Pengarah Pentadbiran dan Kewangan selaku Pengerusi Majlis, Pengiran Kamis bin Pengiran Metamin.

ARTIKEL YANG SAMA