Kecemerlangan perkhidmatan diutamakan

Kecemerlangan perkhidmatan diutamakan

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 25 Nov – Dalam usaha Kementerian Kesihatan untuk memberikan khidmat kesihatan yang lebih berkesan, aspek keselamatan dan kecemerlangan diutamakan agar perkhidmatan yang diberikan adalah lebih bermakna kepada rakyat dan mapan.

Oleh itu, Kementerian Kesihatan melihat Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah (PMMPMHAMB) Tutong berpotensi menjadi sebuah pusat kecemerlangan untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik bagi semua penduduk di negara ini.

Dalam hal ini, ujar Menteri Kesihatan, Hospital PMMPMHAMB akan menjadi sebuah pusat sehenti yang melibatkan pelbagai sumber seperti pakar, ubat-ubatan, peralatan yang berkualiti tinggi dan wad pemulihan di satu tempat.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi menyatakan perkara ini semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada Sesi Muzakarah Bersama Pihak-pihak Berkepentingan bagi Daerah Tutong, yang diadakan di Dewan Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Tutong, Sungai Basong, kelmarin.

Menurut Yang Berhormat Menteri Kesihatan lagi, usaha ini adalah sebahagian daripada usaha yang lebih besar, di mana semua hospital di negara ini akan menjadi pusat kecemerlangan dalam bidang kepakaran tertentu dan akan beroperasi dengan cara yang lebih bersepadu saling melengkapi antara satu sama yang lain.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Zulkarnain menyampaikan ucapan alu-aluan semasa sesi muzakarah yang dijalankan di Daerah Tutong.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Zulkarnain menyampaikan ucapan alu-aluan semasa sesi muzakarah yang dijalankan di Daerah Tutong.
Antara yang hadir di Dewan Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Tutong, Sungai Basong, kelmarin.
Antara yang hadir di Dewan Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Tutong, Sungai Basong, kelmarin.

Dalam ucapannya itu, Yang Berhormat Dato juga menekankan bahawa Kementerian Kesihatan bertekad untuk memberikan pelanggan yang terbaik dan yang dapat ditawarkan oleh setiap hospital di negara ini.

Manakala itu, Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) di Kementerian Kesihatan, Dr Hajah Maslina binti Haji Mohsin semasa ditemu bual menjelaskan bahawa sesi muzakarah ini merupakan kesinambungan daripada sesi muzakarah yang diadakan di setiap daerah di negara ini yang mana Kementerian Kesihatan dapat menerangkan inisiatif-inisiatif baru yang telah pun diadakan sepanjang sembilan hingga 10 bulan kebelakangan ini.

Menurutnya lagi, sesi muzakarah pada kali ini memfokuskan ke atas inisiatif Kementerian Kesihatan yang ingin menjadikan setiap hospital itu mempunyai satu pusat kecemerlangannya yang tersendiri.

“Sebagai misal, Hospital PMMPMHAMB ini menjadi satu pusat endoskopi dan menjadi pusat pembedahan katarak di mana ini bukan bermaksud pusat ini bukan sahaja tertumpu kepada rakyat dan penduduk Daerah Tutong sahaja bahkan untuk semua rakyat di Negara Brunei Darussalam,” jelasnya.

Dr Hajah Maslina berkata, sesi muzakarah ini diharapkan untuk mendapatkan suara atau respons rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam mengenai isu-isu yang dibangkitkan dan daripada sesi muzakarah ini, Kementerian Kesihatan akan dapat memperbaiki lagi perkhidmatan-perkhidmatan yang diberikan pada orang ramai.

Selain itu, tujuan sesi ini diadakan adalah untuk mendapatkan pandangan daripada orang ramai mengenai perkhidmatan yang diberikan dan juga berkongsi maklumat dari Kementerian Kesihatan dan cadangan daripada pihak-pihak berkepentingan untuk menambahbaikkan usaha dalam mencapai visi dan strategi Kementerian Kesihatan.

Turut hadir pada sesi muzakarah ini ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Zakaria bin Haji Serudin; timbalan-timbalan setiausaha tetap serta pegawai-pegawai kanan di Kementerian Kesihatan; pegawai Daerah Tutong; pegawai-pegawai dari Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Daerah Tutong, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei; para penghulu dan ketua-ketua kampung serta wakil-wakil daripada pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan.

ARTIKEL YANG SAMA