Kecemerlangan Wawrinka meningkat

Kecemerlangan Wawrinka meningkat

ABU DHABI, 1 Jan (AFP) – Stan Wawrinka memenangi Grand Slam lebih banyak daripada Roger Federer dan Rafael Nadal sepanjang lebih dua musim namun pemain nombor empat dari Switezerland itu menegaskan menambah gelaran bukan matlamat utamanya.

Wawrinka, yang memberikan Novak Djokovic satu-satunya kekalahan Grand Slam pada 2015 dengan mengejutkan pemain nombor satu dunia pada final Terbuka Perancis akan memulakan kempen musim baru di Abu Dhabi dalam perlawanan pertunjukan membabitkan enam pemain di Kejohanan Tenis Dunia Mubadala bermula hari ini, namun mengakui menjuarai kejohanan utama ketiga tidak berada dalam senarai matlamatnya pada 2016.

“Baru saja dua setengah atau tiga tahun saya kembali berada dalam kelompok 10 terbaik. Kini saya berada dalam kelompok lima terbaik,” kata Wawrinka, 30.

“Ya, memang saya menang dua Grand Slam dalam tempoh dua tahun dan ia sesuatu yang menakjubkan. Tapi pencapaian itu bukan sesuatu normal jadi sukar bagi saya untuk meletak sasaran menjuarai Grand Slam lagi.

“Saya sedar betapa sukar perkara itu, cabarannya terlalu besar. Itu sebabnya ia tidak menjadi matlamat saya.

Wawrinka yang kini mula menunjukkan peningkatan yang sudah menjuarai dua gelaran Grand Slam. – Reuters
Wawrinka yang kini mula menunjukkan peningkatan yang sudah menjuarai dua gelaran Grand Slam. – Reuters

“Matlamat saya adalah memastikan berada pada tahap terbaik setiap kejohanan Grand Slam. Kemudian baru saya tahu sama ada boleh menewaskan pemain ternama.

“Namun untuk mencapai sasaran itu anda perlu melakukan yang terbaik sepanjang tahun.”

Wawrinka menghabiskan waktu rehat dengan berlatih di Geneva yang menyaksikannya bekerja keras untuk cergas dan memperbaiki permainannya.

Dia akan memulakan musim ATP di Chennai minggu depan dengan sasaran memenangi gelaran keempat di sana.

Dia masih kekal pemain nombor dua Switzerland, di belakang pemain ranking ketiga Federer yang masih berada di puncak prestasi meskipun sudah berusia 34 tahun apabila dua kali mara ke final Grand Slam pada 2015.

Ditanya sama ada dia mampu bertanding pada tahap tertinggi ketika berusia 30-an seperti Federer, Wawrinka berkata: “Saya harap begitu, dapat bermain untuk bertahun lama.

“Namun sekali lagi, saya cuba bermain sebanyak yang mungkin, itu pasti.

“Saya tidak tahu di mana saya akan berada dalam tempoh beberapa tahun lagi dan di mana ranking saya.

“Apa yang pasti, saya sentiasa berusaha untuk berada pada tahap terbaik dan kita lihat ke mana arahnya.”

Mengenai sama ada dia akan bergandingan dengan Federer pada Sukan Olimpik 2016 Rio dalam acara beregu yang menyaksikan mereka menang pingat emas Beijing 2008, Wawrinka menambah: “Kami tidak tahu kerana belum putuskannya. Kami perlu berbincang pada awal tahun ini dan lihat apa yang perlu kami lakukan.”

ARTIKEL YANG SAMA