Kecewa permohonan ditolak

Kecewa permohonan ditolak

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 8 April – Seorang ayah melahirkan rasa kekecewaannya terhadap keputusan penilaian pihak berkuasa tertentu ke atas permohonan anak perempuannya yang tidak layak menerima bantuan Orang Kurang Upaya (OKU) selepas disahkan mengalami lumpuh kekal pada bahagian tangannya oleh pihak hospital.

Bapa perempuan itu, Pengiran Ismail bin Pengiran Haji Ali, 63, semasa memberitahu Media Permata, hari ini, mendakwa kecacatan yang dialami oleh anaknya, Pengiran Siti Nur Khatizzah, 29, adalah akibat kecuaian seorang doktor semasa mengendalikan kelahiran anaknya itu pada tahun 1987.

Menurutnya harapan anaknya untuk mendapatkan pekerjaan turut terjejas akibat keadaan itu dan melihat masa depan anaknya agak samar apa tah lagi tidak mempunyai caruman Tabung Amanah Pekerja (TAP).

Beliau juga menyatakan anaknya sering diberhentikan kerja akibat kecacatan itu kerana tugas yang diberi tidak dapat dilaksanakan dengan baiknya kerana hanya menggunakan sebelah tangan sahaja.

Atas dasar tersebut dan rasa tanggungjawab sebagai seorang ayah, beliau telah menghadapkan permohonan untuk mendapatkan bantuan Tidak Berdaya Anggota melalui pihak JAPEM untuk kali pertamanya dalam tahun 2013, kemudian menghadapkan lagi permohonan kali kedua pada tahun 2015 bagi mendapatkan bantuan Orang Kurang Upaya. Bagaimanapun jawapan bagi kedua-dua permohonan tersebut sangat mendukacitakan apabila permohonan tersebut ditolak atas alasan kecatatan anaknya tidak termasuk dalam akta persyaratan menerima bantuan berkenaan.

Pengiran Siti Nur Khatizzah, menunjukkan bagaimana dia melakukan kerja memotong sayur dengan hanya menggunakan tangan kirinya.
Pengiran Siti Nur Khatizzah, menunjukkan bagaimana dia melakukan kerja memotong sayur dengan hanya menggunakan tangan kirinya.

Sementara itu, dalam permohonan untuk mendapat bantuan kebajikan yang dikemukakan pada awal tahun ini, ianya juga ditolak dengan alasan bahawa anaknya itu masih muda dan tidak mempunyai tanggungan.

“Memang anak saya dilihat masih muda pada masa ini, tetapi saya memikirkan masa depannya, dalam usianya dari setahun ke setahun, lebih-lebih lagi jika sudah tiba waktunya saya meninggalkan dunia ini, di manakah tempat dia mengadu, sedangkan pada masa ini pun, kekurangan upayanya dipandang ringan oleh pihak-pihak tertentu, jauh sekali ada sokongan untuk menyediakan prasarana pekerjaan yang sesuai dengan keadaannya, atau sokongan-sokongan lain bagi memastikan OKU seperti anak saya ini merasa terjamin, dan dia bukanlah jenis pemohon yang hanya duduk berpeluk tubuh, malahan merupakan seorang yang kuat berdikari, walaupun kemampuannya terbatas, kerana kadang-kadang sering mengalami kesakitan di bahagian tangannya yang lumpuh, akibat kerosakkan dalaman badannya termasuk bahagian urat saraf,” kata Pengiran Ismail lagi.

Menceritakan sejarah punca kecacatan anaknya itu, Pengiran Ismail yang merupakan seorang pesara Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) berkata, semasa isterinya hendak melahirkan, beliau meminta supaya dilakukan pembedahan kerana menurut doktor anak kandungannya ketika itu besar dan beratnya 10lb, namun cadangan tersebut ditolak oleh doktor yang mengesahkan isterinya boleh melahirkan secara normal.

Bagaimanapun semasa isterinya melahirkan, beliau telah mengalami kesukaran apabila sebelah daripada bahu anaknya itu tersekat dan doktor yang bertugas pada masa itu menarik tangan kanan anak damitnya itu bagi membantu mengeluarkan sebahagian lagi badannya.

“Setelah dua hingga tiga minggu selepas kelahiran, kami suami isteri menyedari lengan anaknya sebelah kanan tidak bergerak lalu membawa untuk pemeriksaan doktor pakar, dan doktor pada masa itu memberitahu kepada mereka suami isteri bahawa anak kami itu dalam keadaan normal. Namun pada usia enam bulan, tangannya masih tidak bergerak dan doktor masih mengatakan ia normal sehinggalah dia berusia empat tahun, barulah doktor mengesahkan anak saya lumpuh,” katanya.

Mereka kemudiannya mengambil keputusan untuk mendakwa pihak berkenaan namun dinasihatkan untuk melupakan hajat itu dan dijanjikan untuk memberikan rawatan rapi ke atas anak mereka.

Menurut Pengiran Ismail lagi, ekoran itu, pihak kerajaan telah menghantar anaknya ketika berusia empat tahun untuk menerima rawatan di Hospital Nasional Universiti Singapura dan menerima rawatan sebanyak 13 kali di Singapura dalam masa dua tahun, selain menjalani pembedahan sebanyak empat kali semasa berusia empat hingga enam tahun.

Pengiran Siti Nur Khatizzah, biarpun dalam keadaan kurang upaya, beliau tetap menguatkan semangat untuk terus berjuang dalam kehidupannya. Beliau mula bekerja secara sambilan di sebuah kedai farmasi semasa masih bersekolah menengah pada sebelah malam, kemudian terus bekerja di sana setelah menamatkan pembelajarannya sehingga Tingkatan Lima Peringkat ‘O’ di Anthony Abell College, Seria.

Di samping itu, beliau juga tidak mahu ketinggalan untuk merebut peluang meningkatkan kemahirannya dengan menyertai beberapa latihan kemahiran yang dikendalikan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, seperti Kursus Solekan dan Dandan Rambut di Pusat Pembangunan Belia bagi sesi 2012-2013.

Tanpa rasa putus asa, Pengiran Siti Nur Khatizzah yang juga merupakan seorang ibu kepada anak lelakinya yang berusia lapan tahun, terus berusaha mendapatkan pekerjaan, dan pada masa ini bekerja sebagai pembantu di salah sebuah hotel di sini.

Bagaimanapun baru-baru ini, menurutnya beliau telah diberikan surat peringatan daripada majikannya untuk memperbaiki prestasi perkhidmatannya yang dilihat kurang memuaskan.

Beliau telah ditinggalkan suaminya sejak kira-kira hampir enam tahun tanpa diberikan sebarang nafkah dan anaknya kini di bawah jagaan suaminya itu. Kini Pengiran Siti Nur Khatizzah bergantung hidup di bawah tanggungan ayahnya.

“Biarpun semasa temuduga saya dijanjikan untuk hanya membuat kerja yang ringan sesuai kemampuan dari segi keupayaan, tetapi setelah bekerja, pihak majikan memberikan tugas yang sama seperti yang dilakukan oleh rakan sekerja yang keupayaan fizikal yang normal, dan semasa jangka masa percubaan, ada juga majikan yang memberikan surat peringatan menyatakan kerja saya kurang memuaskan,” kata Pengiran Siti Nur Khatizzah.

Beliau juga mendakwa, biarpun dalam keadaan kurang kemampuan dari segi fizikal, tetapi beliau juga menanamkan minat untuk menyertai program-program belia seperti bazar dan sebagainya, tetapi menurutnya beliau kurang mampu untuk membayar sewa.

“Saya kadang-kadang turut terkilan, kenapakah OKU seperti saya tidak diberikan kelonggaran seperti dikurangkan harga sewa petak, atau diberikan bentuk sokongan lain yang berpatutan.”

Sementara itu, semasa ditemui Media Permata, Ketua cawangan JAPEM, Daerah Belait, Dayang Noridah binti Haji Ishak, mengesahkan jabatan mereka telah menerima surat permohonan daripada Pengiran Siti Nur Khatizzah, sebanyak tiga kali dan setelah penyelidikan dilakukan, termasuk menilai daripada laporan yang diberikan oleh pihak perubatan, jabatan mereka telah memberikan sokongan untuk permohonan tersebut dibawa ke pihak atasan.

Bagaimanapun, katanya, pihak Unit Jawatankuasa Menilai Permohonan Bantuan, yang melibatkan sebanyak enam buah kementerian yang berbeza, telah membuat keputusan bahawa pemohon berkenaan adalah tidak layak bagi persyaratan akta Orang Kurang Upaya bagi menerima bantuan pencen tidak berdaya anggota, begitu juga ke atas permohonan bantuan kebajikan bulanan yang dihadapkan pada tahun lepas, berdasarkan pemohon berkenaan masih muda dan tiada mempunyai tanggungan.

ARTIKEL YANG SAMA