Kecewa prasarana perumahan tidak lengkap

Kecewa prasarana perumahan tidak lengkap

SETIAP tahun perancangan akan dilaksanakan bagi memastikan setiap permohonan perumahan akan diproses sesegera mungkin. Dan apabila sudah melepasi peringkat undian dan pembahagian kunci, pemohon akan merasa bersyukur dan berpuas hati memperoleh tempat berlindung dan berteduh daripada hujan dan panas.

Walaupun begitu, sering kali terdapat kekurangan dan kealpaan yang melanda arkitek dan kontraktor serta juru perunding dalam membina kawasan perumahan negara tidak kira di mana sahaja di negara kita.

Kawasan perumahan pada dasarnya adalah sebuah bandar kecil yang menggabungkan sebuah masyarakat yang berbagai bangsa, darjat dan keturunan. Dan sebagai bandar kecil, ia harus memiliki prasarana seperti masjid, klinik, balai polis, balai bomba dan sekolah tiga taraf (rendah, menengah dan pra-U).

Namun di kawasan seperti Kg Panchor, Kg Meragang, Kg Tanah Jambu dan Kg Lugu, prasarana ini langsung tidak wujud malah tiada perancangan sebenarnya pada asalnya untuk dibina. Sungguh menyedihkan.

Apakah mereka yang berkenaan sudah lupa atau mementingkan keuntungan dalam membina perumahan ini?

Mengapa tidak difikirkan manfaat yang bakal diperolehi oleh pemilik perumahan?

Sesuatu yang drastik harus dilakukan bagi memastikan yang perkara ini secepatnya diperbaiki.

Agensi-agensi kerajaan yang berkenaan harus bertindak secara pragmatik dan strategik bagi memastikan yang rakyat dan penduduk negara ini tidak dinafikan hak mereka untuk membangun dan maju sebagai sebuah masyarakat dalam sebarang kawasan perumahan yang diilhamkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang kita semua kasihi. Renungkanlah.

Ugan Brunei, Bandar Seri Begawan

ARTIKEL YANG SAMA