Kecuaian, kelalaian membawa kecelakaan

Kecuaian, kelalaian membawa kecelakaan

Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa mengagihkan buku Sikap dan alat garis pandu penanda aras tayar semasa kem-pen berkenaan di Stesen Minyak Delima.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa mengagihkan buku Sikap dan alat garis pandu penanda aras tayar semasa kem-pen berkenaan di Stesen Minyak Delima.

Oleh Sim Y. H., Yusrin Junaidi, Normazlina M.D &

Hajah Saemah Kepli

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Jun – Pemandu-pemandu disarankan untuk sentiasa mengamalkan sikap pemanduan yang berhati-hati dan untuk tidak lalai kerana kelalaian mereka walau sesaat pun boleh mengundang berlakunya kecelakaan yang tidak diingini semasa memandu.

Saranan berkenaan ditekankan oleh Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa bin Haji Sirat, selaku penasihat Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) kepada pihak media semasa Kempen Beringat-ingat yang diadakan di Stesen Minyak Delima, hari ini.

Dato Seri Pahlawan Haji Muhd Jammy ketika ditemubual.
Dato Seri Pahlawan Haji Muhd Jammy ketika ditemubual.

Beliau berkata, terdapat kemalangan yang terjadi yang mana ia berpunca daripada sikap pemandu di mana pemandu yang tidak layak iaitu yang dipengaruhi oleh perkara lain atau dalam keadaan letih atau pengaruh alkohol, yang setentunya boleh mengganggu tumpuan mereka semasa memandu.

“Jadinya, kita berharap supaya pemandu-pemandu akan sedar akan kesan-kesan daripada perkara itu kerana apabila memandu laju, kesilapan sesaat boleh menjejaskan atau menyebabkan kehilangan jiwa.”

Pemangku Pegawai Daerah Tutong mengagihkan buku Kempen Beringat-ingat di Daerah Tutong.
Pemangku Pegawai Daerah Tutong mengagihkan buku Kempen Beringat-ingat di Daerah Tutong.

Beliau menekankan supaya para pemandu memberikan tumpuan sepenuhnya semasa memandu, mereka harus sentiasa bersikap awas dan faham mengenai kesan-kesan kelalaian, keletihan dan memandu di bawah pengaruh alkohol yang bukan sahaja akan membahayakan diri pemandu itu tetapi juga pengguna jalan raya yang lain.

Pesuruhjaya Polis mengagihkan buku panduan Sikap.
Pesuruhjaya Polis mengagihkan buku panduan Sikap.

Mengulas mengenai kesedaran orang ramai mengenai keselamatan jalan raya melalui kempen keselamatan jalan raya yang dilaksanakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa berkata, dari segi pematuhan undang-undang, hasil dapatan daripada kajian-kajian yang dilaksanakan melihatkan perkembangan yang baik.

Namun begitu, ulasnya lagi, dari segi kejadian kemalangan, didapati bahawa ia masih berada di tahap yang sama dan kehilangan nyawa daripada kemalangan juga masih di tahap yang sama.

Turut hadir mengedarkan buku tersebut Yang Berhormat OKJP Dato Paduka Haji Muhammad Taha.
Turut hadir mengedarkan buku tersebut Yang Berhormat OKJP Dato Paduka Haji Muhammad Taha.

Oleh itu, beliau menekankan adalah amat penting untuk mengadakan kempen kesedaran keselamatan secara berterusan dan perkara itu ditegaskan lagi semasa mesyuarat MKKJR di mana perlunya mengadakan usaha-usaha serta mengambil kaedah yang berlainan untuk meningkatkan kesedaran itu.

“Sebagai contoh, mesti ada usaha ke arah peningkatan pengetahuan mengenai perkara yang berhubungan dengan memandu, terutamanya sikap pemandu di mana ia harus ditekankan.”

Tetapi pada keseluruhannya, ulas beliau lagi, pematuhan undang-undang dan keadaan kereta yang selamat dipandu, menunjukkan peningkatan yang baik.

Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa berharap kempen kesedaran keselamatan dapat terus dilaksanakan sebagai usaha untuk memberikan peringatan kepada pengguna jalan raya terutama pemandu untuk mengamalkan sikap memandu yang berhati-hati.

Kempen Beringat-ingat merupakan kempen kesedaran yang dilaksanakan oleh MKKJR yang dikepalai oleh Kementerian Perhubungan dengan matlamat untuk memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya supaya mengamalkan sikap pemanduan berhemah dan sentiasa patuh dengan akta serta peraturan lalu lintas.

Kempen kesedaran itu dilakukan secara serentak di keempat-empat daerah di mana sebanyak 3,000 naskhah buku SiKAP dan sebanyak 2,000 unit garis pandu penanda aras tayar telah diagih-agihkan kepada para pemandu dengan harapan ia dapat menyuntik kesedaran dalam kalangan pemandu untuk mengamalkan sikap pemanduan yang selamat bagi keselamatan semua pengguna jalan raya.

Bagi kempen yang dilaksanakan di Stesen Minyak Delima, ia diketuai oleh Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa dan turut disertai oleh Pengarah Jabatan Pengangkutan Darat, Dr Haji Supry bin Haji Ladi, ketua pengarah Jabatan Kerja Raya serta ahli-ahli MKKJR.

Di Daerah Brunei dan Muara, kempen turut diadakan di Stesen Minyak Jerudong yang dihadiri oleh Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Seri Pahlawan Haji Mohd Jammy bin Haji Muhd Shah Al-Islam.

Ketika ditemui pada kempen itu, Dato Seri Pahlawan Haji Mohd Jammy berkata pihak Polis Diraja Brunei amat prihatin terhadap kawalan lalu lintas dan sentiasa memberikan nasihat kepada pengguna-pengguna jalan raya tentang keselamatan lalu lintas dari semasa ke semasa.

Menyentuh mengenai kempen berkenaan, beliau berkata Pasukan Polis Diraja Brunei sentiasa menyokong usaha padu pihak MKKJR itu.

Beliau menyarankan orang ramai supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya, seperti memandu dengan lebih berhati-hati, bertolak ansur, tidak mengubah suai kenderaan dan memastikan kenderaan dalam keadaan selamat untuk digunakan.

“Keselamatan itu penting, masa depan negara bergantung kepada warga yang baik, sihat dan sebagainya tujuan utama pihak polis dalam usahanya meningkatkan peranannya dalam memastikan pengguna-pengguna jalan raya mematuhi undang-undang jalan raya.

“Kempen seperti ini memang diadakan setiap tahun dan bukan saja ditumpukan dalam waktu tertentu, bahkan diadakan setiap masa,” tambah beliau.

Manakala itu, di Daerah Tutong, kempen telah diadakan di kawasan jalan raya berdekatan Balai Polis Daerah Tutong. Hadir selaku tetamu kehormat dan mengagihkan buku dan gelang kunci kepada pemandu-pemandu ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Haji Adnan bin Haji Adam selaku pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya.

Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Orang Kaya Jaya Putera (OKJP) Dato Paduka Haji Muhammad Taha bin Abd Rauf yang juga selaku Penghulu Mukim Keriam.

Di Daerah Belait pula, ia diadakan di kawasan Pekan Belait dan hadir selaku tetamu kehormat ialah Pegawai Daerah Belait, Haji Haris bin Haji Othman. Turut hadir ialah Penolong Pegawai Daerah Belait, Awang Hasmiron bin Haji Mohd Taib.

Kempen di daerah ini turut disertai sama oleh Pasukan Polis Diraja Daerah Belait dan Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria.

Pemangku Pegawai Melesen Kanan, Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) Cawangan Kuala Belait, Haji Suhaili bin Haji Umar ketika ditemui berkata, JPD cawangan Kuala Belait mendapati terdapat sebilangan pemandu masih mengubahsuai kenderaan mereka, dan menyeru supaya mereka yang melakukannya untuk mematuhi undang-undang yang telah sedia ada.

Ditanya tentang keadaan kejadian kemalangan jalan raya di Daerah Belait, Haji Suhaili menyatakan, ia masih dalam tahap yang tidak merbahaya, dan dengan adanya kempen keselamatan jalan raya ini sedikit sebanyak akan memberikan kesedaran kepada orang ramai khususnya pemandu dan para pengguna jalan raya.

 

ARTIKEL YANG SAMA