Kecurian kabel TelBru menjadi-jadi

Kecurian kabel TelBru menjadi-jadi

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Jun – Sejak pertengahan April hingga penghujung Mei sahaja, lebih 2,000 meter kabel tembaga dan lebih 200 meter kabel gentian optik telah dicuri dalam beberapa kejadian berasingan.

TelBru telah menyatakan kebimbangannya mengenai peningkatan jumlah kecurian melibatkan kabel-kabel komunikasi dan impaknya kepada para pelanggannya, lebih-lebih lagi berikutan kes-kes kecurian di kawasan Kampong Ayer, minggu lalu.

Kebimbangan tersebut dinyatakan oleh Ketua Keselamatan Telbru, Lt Kol (B) Zulkiflee bin Dato Paduka Hanafiah pada sidang media yang diadakan di Pejabat TelBru, di ibu negara hari ini. Menurut beliau, tiga kes baru telah dilaporkan pada 28 dan 29 Mei lalu membabitkan pemotongan dan kecurian ratusan meter kabel tembaga di kawasan Kampung Putat dan Kampung Peramu.

Selain mengeluarkan belanja besar untuk memperbaiki kerosakan kabel dan menukar kabel yang dicuri, perbuatan mereka yang tidak bertanggungjawab itu juga telah menyebabkan gangguan perkhidmatan telefon dan Internet kepada pelanggan TelBru termasuk kawasan kediaman, kerajaan dan bangunan komersial.

Perbuatan pencuri itu juga telah mengakibatkan kerosakan ke atas optik gentian yang juga boleh menjejaskan sambungan Internet kepada perniagaan dan kediaman.

Lt Kol (B) Zulkiflee bersama Dr Michael Mertsch (kanan) menjelaskan mengenai kejadian kecurian kabel pada sidang media kelmarin.
Lt Kol (B) Zulkiflee bersama Dr Michael Mertsch (kanan) menjelaskan mengenai kejadian kecurian kabel pada sidang media kelmarin.

Sejak Januari 2015, sebanyak 27 kecurian kabel telah dilaporkan, membabitkan kawasan Kampung Kiudang, Kampung Sungai Siamas, Kampung Panchor, Kampong Ayer, Kampung Peramu dan kampung yang telah disebut sebelumnya.

Statistik yang semakin membimbangkan ini telah memaksa TelBru untuk mengambil langkah yang perlu dengan meningkatkan rondaan keselamatan dan memasang kamera keselamatan (CCTV) di kawasan yang sering berlaku kecurian.

Ketua Pegawai Teknikal TelBru, Dr Michael Mertsch berkata, TelBru kesal dengan kejadian ini yang menyebabkan gangguan perkhidmatan telefon dan Internet pelanggan.

Sehubungan itu, TelBru memohon kerjasama orang ramai untuk melaporkan aktiviti-aktiviti mencurigakan ke balai polis berdekatan.

Pada waktu yang sama, syarikat kitar semula juga diseru untuk sama-sama membantu Pasukan Polis Diraja Brunei dalam siasatan mereka yang mana kebanyakan kabel yang dicuri itu dijual kepada syarikat berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA