Kedai bebas cukai mohon maaf insiden diskriminasi

LONDON, 13 Feb – Sebuah syarikat bebas cukai yang memiliki kedai di Lapangan Terbang Hearthrow memohon maaf pada Isnin selepas pelanggan Cina mendakwa ia mengamalkan diskriminasi dalam pelaksanaan program baucar VIPnya.

“Sebagai sebuah syarikat global, kami komited melayan semua pelanggan kami dengan penuh hormat dan dengan cara yang konsisten serta adil. Kami ingin menzahirkan permohonan maaf kami yang tulus ikhlas kepada pelanggan yang kami hargai,” kata World Duty Free dalam satu kenyataan seperti yang dipetik oleh agensi berita China Xinhua.

Pengguna media sosial Cina mendakwa pelanggan Cina perlu membelanjakan lebih 1,000 pound sebelum layak mendapat baucar diskaun di cawangan World Duty Free sedangkan pelanggan dari negara lain hanya perlu membelanjakan 79 pound untuk menerima baucar diskaun 20 peratus itu.

Kenyataan itu adalah yang kedua dikeluarkan oleh syarikat tersebut sejak pertikaian berkaitan dakwaan diskriminasi menjadi tular sejak beberapa hari lepas.

Bagaimanapun, terdapat perbezaan dari segi kandungan dalam versi Bahasa Inggeris dan bahasa Cina kenyataan itu, yang dikeluarkan kelmarin menerusi Facebook.

Teks dalam Bahasa Inggeris tidak menyebut pelanggan Cina secara jelas dan hanya menyebut tentang pelanggan atau “semua pelanggan yang kami hargai,” manakala versi Bahasa Cina, yang dikeluarkan segera selepas versi Bahasa Inggeris, ada menyebut “pelanggan Cina.”

Syarikat itu tidak memberikan maklum balas terhadap permintaan untuk memberikan penjelasan sama ada ia telah mendiskriminasikan pelancong Cina.

Kenyataan itu dibuat berikutan tekanan dari masyarakat Cina yang menyuarakan kemarahan mereka di media sosial.

Kenyataan pertama, yang dikeluarkan pada Isnin menerusi Twitter, telah menzahirkan permohonan maaf namun gagal memberikan penjelasan penuh.

“Program VIP direka untuk memberikan ganjaran kepada pelanggan dalam tempoh tertentu pada tahun ini dengan menawarkan satu insentif menarik bagi pembelian kedua.

“Selepas penilaian sendiri yang terperinci dan kajian lanjut, kami telah mengambil langkah segera untuk membetulkan pelaksanaan promosi ini,” demikian menurut kenyataan terbaru World Duty Free, yang berpangkalan di Bern, Switzerland. – Bernama