Kedai gunting klasik anak tempatan

Kedai gunting klasik anak tempatan

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Jun – Di negara ini, mungkin jarang kita mendengar dan melihat anak Melayu memegang profesion sebagai tukang gunting rambut lelaki tetapi seorang anak Melayu tempatan, Awang Azhar Ahmadkhan berani menceburi bidang ini.

Bermula daripada sifar pengalaman dan latar belakang dalam bidang salon rambut, beliau kini sudah pun berjaya membuka kedai gunting sendiri dikenali sebagai Chaps & Rebels yang menawarkan perkhidmatan gunting rambut berkonsepkan klasik moden.

Semasa kunjungan wartawan Media Permata ke kedai beliau di Kiulap hari ini, lorong kedai yang memberi suasana klasik itu mengimbas semula zaman kanak-kanak semasa menemani adik beradik lelaki yang mendapatkan perkhidmatan tukang gunting rambut pada zaman dulu.

Dalam pertemuan itu, beliau mengongsikan bahawa beliau pernah mencuba beberapa perniagaan lain sebelum menceburi perniagaan kedai gunting ini, namun banyak yang tidak dapat bertahan lama.

Selepas melalui beberapa kegagalan, beliau mula terfikir untuk membuka perniagaan kedai gunting kerana memikirkan kebanyakan kedai gunting di negara ini dikendalikan oleh warga asing, dan mula menggunting rambut adik-beradik dan kawan-kawan tanpa sebarang bayaran.

Suasana kedai yang menampilkan aura klasik moden.
Suasana kedai yang menampilkan aura klasik moden.

Selain mengunting rambut mereka sebagai latihan, beliau juga menonton YouTube untuk melihat teknik sekali gus mempelajari cara menggunting rambut yang betul.

Pada tahun 2012, beliau mula menawarkan perkhidmatan mengunting rambut di rumah dan hanya meluangkan masa selepas waktu bekerja dan hari kelepasan awam selama tempoh lebih setahun melalui tempahan saja dan kini beliau sudah mampu mempunyai kedai gunting sendiri.

Menyentuh mengenai konsep Chaps & Rebels, beliau menjelaskan ia adalah satu konsep klasik moden yang memberi keselesaan kepada pelanggan untuk menikmati suasana santai semasa mendapatkan perkhidmatan di kedai tersebut.

Bukan setakat itu, beliau juga menitik beratkan tiga perkara dalam memberi kepuasan kepada pelanggan iaitu kualiti, perkhidmatan dan sentuhan peribadi (personel touch).

Ruang kedai yang tersusun rapi dengan peralatan mengunting rambut ditambah dengan perabot klasik yang digunakan untuk menambah keceriaan pastinya memberi suasana klasik menyegarkan kepada pelanggan.

Produk yang diimport dari luar negara tersusun rapi di rak kedai berkenaan.
Produk yang diimport dari luar negara tersusun rapi di rak kedai berkenaan.
Awang Azhar Ahmadkhan semasa ditemui di kedainya.
Awang Azhar Ahmadkhan semasa ditemui di kedainya.

Di samping menggunting rambut, beliau juga menjual beberapa produk dandanan rambut lelaki, produk penjagaan janggut, produk cukur, barang dagangan dan banyak lagi.

“Produk ini didatangkan dari beberapa buah negara luar seperti Amerika Syarikat, Indonesia dan juga Malaysia,” tambahnya.

Beliau yang mengendalikan kedai gunting rambut anak tempatan, memulakan kedainya pada 2013, kemudian mengembangkan perniagaan kedai gunting di Kiulap itu yang pada mulanya menyediakan hanya dua buah kerusi gunting kepada empat buah pada masa ini.

Di samping itu, kedai gunting beliau dibantu oleh tiga orang pekerja tetap dan dua lagi ‘freelancers’ yang merupakan kawan beliau yang juga mempunyai minat yang sama dengan beliau.

Chap & Rebels menerima pelanggannya bermula pukul 11 pagi hingga 8 malam pada hari Selasa hingga Ahad dan untuk bulan Ramadan ini, waktu operasi akan dilanjutkan sehingga pukul 12 tengah malam pada seminggu atau dua minggu terakhir Ramadan.

Awang Azhar Ahmadkhan yang sudah berumah tangga dan mempunyai tiga orang anak, berasal dari Kuala Belait dan kini menetap di Kampung Jangsak, berharap mereka yang ingin menceburkan diri dalam bidang perniagaan agar bersemangat kuat dan meneliti perniagaan yang akan dilaksanakan di samping mengetahui tujuan membuat perniagaan ini.

ARTIKEL YANG SAMA