Kedai kiub semakin terkenal

Kedai kiub semakin terkenal

Oleh Normazlina M.D

TUTONG, 3 Feb – Penjualan melalui kedai kiub pada masa ini amat terkenal dalam kalangan usahawan di negara ini yang bukan sahaja tertumpu di Daerah Brunei dan Muara, bahkan melarat dan berkembang di Daerah Tutong.

Media Permata, pagi tadi, meninjau beberapa premis perniagaan di daerah ini dan menyaksikan beberapa pengusaha telah pun membuka kedai kiub.

Salah seorang pengusaha dan Pengurus Pink Cube di Daerah Tutong, Dayang Sofia Ibrahim, 45, menjelaskan beliau yang berjinak-jinak dalam perniagaan sejak remaja lagi telah membuka kedai kiub pada bulan Jun tahun lepas.

Menurut Dayang Sofia, beliau membuka kedai sedemikian untuk membantu vendor-vendor yang belum mempunyai kedai serta sibuk dengan kerja lain.

Bahkan melalui kedai kiub ini juga, beliau tidak ketinggalan menjual dan mempromosikan produk makanannya yang sentiasa laris iaitu kueh ‘Lapat’, Wajid Temburong dan Keropok Ubi Kentang.

Boxesbn antara kedai kiub yang sentiasa dikunjungi orang ramai.
Boxesbn antara kedai kiub yang sentiasa dikunjungi orang ramai.
Pengusaha dan Pengurus Pink Cube di Daerah Tutong, Dayang Sofia (tengah) cuba membantu vendor-vendor yang belum mempunyai kedai untuk menjual produk mereka melalui kiub-kiubnya.
Pengusaha dan Pengurus Pink Cube di Daerah Tutong, Dayang Sofia (tengah) cuba membantu vendor-vendor yang belum mempunyai kedai untuk menjual produk mereka melalui kiub-kiubnya.

Apa yang menariknya membuka kedai kiub ini, pengunjung dapat melihat pelbagai produk seperti makanan, pakaian dan sebagainya daripada berbagai-bagai pengusaha.

Dayang Sofia yang berasal dari Daerah Temburong menyatakan, hasratnya membuka kedai kiub di Tutong ini adalah untuk sama-sama mempromosi produk makanannya yang banyak dari Temburong, dan ramai penduduk Tutong suka makanan produk Daerah Temburong.

“Alhamdulillah, di samping mempromosi makanan Temburong dan menjual pelbagai barangan dan produk-produk daripada berbagai-bagai vendor, kedai kiub juga dapat sambutan yang menggalakkan di Daerah Tutong namun ia adalah agak perlahan kerana ada sebilangan orang Tutong belum tahu dan tidak kenal kedai kiub ini terutama warga emas di daerah ini,” jelas Dayang Sofia.

Sementara itu, pengusaha kedai kiub “Cozy Flair”, Haji Muhd Zulfakhri bin Haji Khanafiah, 30, pula menyatakan, hasrat mereka menjalankan perniagaan keluarga dengan membuka kedai kiub ini sudah pun tercapai dan memilih Daerah Tutong kerana sewaan kedai di daerah ini lebih murah berbanding di Daerah Brunei dan Muara.

Haji Muhd Zulfakhri menjelaskan, membuka kedai kiub sekurang-kurangnya dapat membantu vendor-vendor luar menghantar barang mereka ke daerah ini dengan menyediakan ruangan kiub untuk mereka.

Selain itu, ia juga memudahkan penduduk di daerah ini untuk tidak perlu pergi jauh membeli barang yang mereka mahukan.

Menurutnya lagi, pengunjung pun tidak putus-putus datang membeli barang di Cozy Flair dan pendapatan yang diterima sebulan pun dalam keadaan stabil sahaja.

Manakala itu, pengusaha Boxesbn, Dayang Nurhidayati binti Madzalan menyatakan bahawa kedai kiub di daerah ini dapat menarik penduduk Daerah Tutong untuk membeli barangan vendor-vendor dari luar daerah yang ikut serta menyewa kiub mereka dan pada masa ini, di mana seramai 80 pengusaha menyewa kiub Boxesbn dari dalam dan luar daerah.

Sejak penubuhan Boxesbn pada Mei 2015, sambutan orang ramai adalah sangat menggalakkan, “Alhamdulillah, kira-kira lebih 1,000 orang pengunjung datang ke Boxesbn dalam kiraan seminggu,” ujar Dayang Nurhidayati.

Sebagai pengusaha, Dayang Nurhidayati menasihati para pengusaha yang ingin berkecimpung dalam jualan kiub perlu berani mencubanya dan tidak berputus asa, manakala itu, bagi mereka yang ingin berniaga secara kecil-kecilan dan tidak mampu menyewa membayar kedai, bolehlah menghantar barang mereka di kedai kiub yang digemari ramai.

Pada masa ini, lebih lima buah kedai kiub sudah pun dibuka di daerah ini dan antara yang menjadi tarikan pengunjung ialah Boxesbn, Cozy Flair, Pink Cube, dan Seas Company.

ARTIKEL YANG SAMA