Kedai konsep ke-2 Progresif di Yayasan

Kedai konsep ke-2 Progresif di Yayasan

Oleh Azlan Othman

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Mei – Progresif Cellular Sdn Bhd (Progresif) telah membuka kedai konsep keduanya dengan lebih 200 kakitangan di Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, semalam.

Perasmian kedai berkenaan telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Progresif, Paul Hyde dan Ketua Undang-Undang dan Peraturan Progresif, Hajah Nurul Haniah binti Haji Jaafar.

Kedai konsep Progresif berkenaan direka berasaskan suasana untuk memberikan pengalaman luar biasa yang mencerminkan imej jenama barunya, iaitu kesederhanaan.

Lebih 50 kakitangan jualan tempatan diambil sejak suku pertama tahun ini, yang mana mereka dilatih dengan pengetahuan dan kemahiran untuk memberikan pengalaman yang unik khas bagi pelanggan Progresif sahaja.

Dalam pada itu, kempen SIM percuma, yang dilancarkan pada awal Februari tahun ini, telah menerima sambutan memberangsangkan dengan maklum balas positif, menambah lebih 10,000 pelanggan sejak itu.

Paul Hyde bergambar ramai bersama kakitangan di majlis perasmian kedai konsep kedua Progresif di Yayasan, Sabtu lalu.
Paul Hyde bergambar ramai bersama kakitangan di majlis perasmian kedai konsep kedua Progresif di Yayasan, Sabtu lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Progresif semasa berucap di majlis itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Progresif semasa berucap di majlis itu.

Pengurus Komunikasi Korporat Progresif, Dayang Hafiza binti Mohamad berkata, “Sejak pelancaran imej jenama kami pada 1 Mei, kini kami mempunyai beberapa siri pelan baru dan harga yang telah disusun semula.

“Awal minggu ini, kami telah mengumumkan bahawa Progresif akan membayar lesen tahunan untuk pelanggan kami dan melanjutkan tempoh kesahan kredit sehingga 90 hari dari hari bayaran ditambah,” ujarnya

Beliau menambah, mereka juga telah memperkenalkan kadar tetap untuk panggilan keluar pada 16 sen seminit, menghantar SMS dan MMS untuk dalam negara, masing-masing pada kadar lima sen dan bayaran penggunaan data lima sen setiap 1MB malah panggilan masuk percuma untuk dalam negara dan antarabangsa.

Antara kakitangan tempatan Progresif.
Antara kakitangan tempatan Progresif.

pg10_150511_d

Sementara itu, pelanggan Progresif tidak lama lagi akan mempunyai pilihan untuk mengekalkan empat digit terakhir nombor telefon bimbit mereka daripada talian telefon sebelumnya apabila mereka beralih kepada Progresif.

Semasa ditemui di majlis itu, Paul Hyde berkata, “Apa yang sedang kami lakukan buat masa sekarang adalah memperkenalkan satu sistem di mana anda boleh membawa nombor talian sedia ada dan memindahnya ke Profresif.

“Kami akan membantu pelanggan yang datang kepada kami. Kami akan menggunakan pelan nombor kami dengan teliti dan tidak lama lagi. Pelanggan kami boleh mengunjungi kedai Progresif dan menunjukkan kepada kami talian telefon yang mereka gunakan sekarang.

“Misalnya, jika mereka mempunyai nombor seperti ‘ABC1234’, Progresif akan memberikan nombor seperti ‘XYZ1234’. Pada dasarnya, kami boleh memadankan empat nombor terakhir talian telefon mereka sebelumnya,” jelasnya lagi mengenai pelan nombor yang bakal mereka perkenalkan itu.

ARTIKEL YANG SAMA