Kedai lampu di Sandakan hangus

Kedai lampu di Sandakan hangus

SANDAKAN, 28 Dis – Sebuah kedai lampu dan peralatan elektrik dua tingkat musnah dalam kebakaran di Bandar Tyng Batu 6 dekat sini, hari ini.

Api bagaimanapun dapat dikawal anggota bomba daripada merebak ke premis dan bangunan kedai bersebelahan yang turut menempatkan pejabat Bernama.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan Haikal Jammy Ngali Abdullah berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 3.57 pagi dan menghantar dua jentera bersama 15 anggota.

Katanya, api dapat dikawal daripada merebak ke bangunan bersebelahan sebelum berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 6.37 pagi.

Kebakaran memusnahkan keseluruhan kedai tersebut termasuk semua peralatan lampu dan elektrik yang dijual di situ, katanya.

Anggota bomba dan penyelamat memadamkan api dari memusnahkan sebuah kedai lampu dan peralatan elektrik dua tingkat di Bandar Tyng Batu 6 dekat sini,pagi kelmarin. – Bernama
Anggota bomba dan penyelamat memadamkan api dari memusnahkan sebuah kedai lampu dan peralatan elektrik dua tingkat di Bandar Tyng Batu 6 dekat sini,pagi kelmarin. – Bernama

Haikal berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan manakala punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, isteri pemilik kedai berkenaan yang enggan namanya disiarkan berkata kedai tersebut dibuka semalam sebelum ditutup pada pukul 3 petang.

Katanya kebakaran itu menyebabkan kerugian besar kerana kedai berkenaan turut menempatkan stok barangan elektrik selain lampu dan peralatan elektrik yang dijual di situ.

Menurutnya mereka dijangka mengambil masa lebih enam bulan untuk beroperasi semula. – Bernama