Kedai makan diarah tutup

Kedai makan diarah tutup

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 30 Sept – Sebuah kedai makan dan minum di Mukim Liang telah diarahkan untuk ditutup buat sementara oleh Unit Penguatkuasaan, Bahagian Perlesenan dan Penguatkuasaan Jabatan Daerah Belait, hari ini, berikutan tahap kebersihan dan penyediaan makanan yang tidak memuaskan.

Arahan tutup sehingga kerja-kerja pembersihan siap dilaksanakan oleh pengurusnya itu dibuat selepas pemeriksaan melalui operasi bersepadu bersama Jabatan Perkhidmatan Kesihatan, Kuala Belait.

Melalui pemeriksaan tersebut, Jabatan Perkhidmatan Kesihatan telah membuat teguran kepada beberapa orang penyelia makanan di premis kedai terbabit, selain menasihatkan mengenai tatacara menghidangkan dan menjaga keselamatan makanan yang dijual untuk memastikan makanan sentiasa di dalam keadaan bersih dan selamat.

Selain itu, para penyelia makanan dan minuman premis tersebut juga telah menjalani ujian kesihatan dan diberi taklimat berhubung dengan penjagaan dan kawalan kebersihan makanan di Jabatan Perkhidmatan Kesihatan, Kuala Belait.

Kedai makan dan minum yang didapati tahap kebersihannya kurang memuaskan telah diarahkan untuk ditutup segera untuk sementara sehingga kerja-kerja pembersihan dilaksanakan.
Kedai makan dan minum yang didapati tahap kebersihannya kurang memuaskan telah diarahkan untuk ditutup segera untuk sementara sehingga kerja-kerja pembersihan dilaksanakan.

Operasi tersebut bertujuan untuk menjalankan pemeriksaan ke atas kebersihan premis kedai makan dan minum, bagi memastikan peralatan-peralatan penyediaan makanan sentiasa dalam keadaan bersih dan selamat untuk digunakan serta mematuhi peraturan-peraturan penggal 127 (pindaan 2015) yang telah dikuatkuasakan pada 1 Januari 2015.

Pemantauan dan rondaan juga akan terus dijalankan dari semasa ke semasa bagi mengelakkan perkara-perkara yang menyalahi peraturan, selain itu Jabatan Daerah Belait juga akan selalu mengawasi kebersihan dan keselamatan di kawasan premis-premis perniagaan dan tempat awam di sekitar Daerah Belait bagi memastikan kebersihan dan keselamatan premis-premis perniagaan akan sentiasa terkawal.

ARTIKEL YANG SAMA