Kedai runcit diarah tutup

Kedai runcit diarah tutup

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 23 Sept – Sebuah kedai runcit, di sini, telah diarahkan tutup serta merta apabila najis tikus ditemui pada rak-rak barang jualan oleh pegawai-pegawai penguat kuasa semasa pemeriksaan, hari ini.

Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria dalam laporannya turut menyatakan, semasa pemeriksaan itu, makanan dalam tin turut didapati rosak dan berkarat malah barang-barang makanan yang dijual sudah rosak dan hampir kesemuanya berhabuk.

Selain itu, sayur-sayuran yang dijual juga didapati dalam keadaan tidak segar dan layu.

Pemeriksaan dijalankan ke atas sebuah kedai runcit di Kuala Belait.
Pemeriksaan dijalankan ke atas sebuah kedai runcit di Kuala Belait.

Menurut kenyataan itu, arahan penutupan itu adalah sehingga kerja pembersihan dilakukan dan akan dibuka semula sebaik sahaja pengurus premis melaksanakan dan mematuhi arahan yang telah diberikan. Penutupan tersebut merupakan hasil pemeriksaan bersama Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria dengan Pejabat Kesihatan Daerah Belait melalui OPS Sergah 30/2015 di sini.

Sehubungan itu, jabatan berkenaan menyarankan supaya para pengusaha kedai runcit dan premis makanan supaya sentiasa peka dan mengambil berat dalam hal ehwal menjaga kebersihan premis mereka demi kesejahteraan dan keselamatan orang ramai.

ARTIKEL YANG SAMA