Kedai serbaneka robotik

Kedai serbaneka robotik

DES MOINES, 28 Jun (Agensi) – Pada masa depan, mungkin tiada lagi barisan panjang di pasar raya kerana kaedah pembelian makanan dipertingkat dengan penggunaan teknologi tinggi.

Bandar ini yang terletak di Iowa, Amerika Syarikat, merancang untuk membina sebuah kedai serbaneka robotik pertama seumpamanya sebagai kajian menawarkan makanan dan barangan keperluan harian kepada penduduk setempat pada bila-bila masa.

Satu usaha sama antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Eat Greater Des Moines dan firma peralatan perniagaan, Oasis24seven akan menyaksikan unit mesin beli-belah automatik layan diri datang ke kawasan penduduk di sini.

Pengarah Eksekutif NGO itu, Aubrey Alvarez, berkata di bandar ini ada bahagian pekan yang mempunyai capaian terhad kepada makanan.

“Kami benar-benar mahukan kedai serbaneka penuh untuk beroperasi di sini, namun sebelum ia dapat direalisasikan, unit robotik ini akan mengatasi jurang komuniti itu,” katanya.

Katanya, projek itu menggunakan idea mudah dan senang, mesin layan diri, justeru peruncitan robotik boleh diakses semua penduduk.

Ketua Eksekutif Oasis24seven, David Maurer, berkata sistem robotik itu menggunakan sistem penghantar tali sawat, dengan alat yang boleh mengambil produk dari rak dan kemudian meletakkannya di tali sawat untuk dihantar kepada pelanggan.

Sistem itu membolehkan barangan seperti roti dan telur dilindungi daripada rosak.

Pada masa sama, katanya, kedai serupa digerakkan dengan kaedah menjatuhkan barangan, namun mengehadkan jenis produk yang boleh dijual.