Kedai terkenal Golden-gai musnah dijilat api

Kedai terkenal Golden-gai musnah dijilat api

TOKYO, 12 April (AFP) – Berpuluh-puluh jentera bomba hari ini bertungkus-lumus memadam kebakaran yang berlaku di daerah bar Tokyo yang memusnahkan empat buah bangunan.

Pemadam kebakaran bergelut selama beberapa jam untuk memadam kebakaran dan asap yang keluar menerusi tingkap dan bumbung besi di daerah Golden-gai, menurut rakaman daripada penyiaran awam NHK dan stesen TV lain.

Golden-gai secara kasarnya mempunyai keluasan 2,000 meter persegi di kawasan hiburan Kabukicho, Tokyo, yang dikenali dengan lorong dan jalan kecil yang dipenuhi dengan ratusan bar kecil dan kedai-kedai makan.

Kebakaran bermula sekitar jam 1:20 petang (0420 GMT), menurut Jabatan Bomba Tokyo, yang mengatakan kebakaran itu berjaya dipadamkan empat jam kemudian dengan bantuan 40 buah jentera bomba dan sebuah helikopter.

Dua orang mengalami cedera ringan.

Anggota bomba memeriksa rumah yang musnah berikutan kebakaran yang berlaku di lorong Golden Gai di daerah Shinjuku di Tokyo pada 12 April. – AFP
Anggota bomba memeriksa rumah yang musnah berikutan kebakaran yang berlaku di lorong Golden Gai di daerah Shinjuku di Tokyo pada 12 April. – AFP

Jiji Press mengatakan enam buah kedai makan musnah dalam bangunan kayu tersebut.

“Api marak dan kebakaran terus melarat ke wayar-wayar elektrik, asap sangat tebal dan teruk,” kata Daizen Ishiba, pemilik bar berusia 45 tahun di daerah itu.

Terletak hanya beberapa buah blok daripada bangunan pencakar langit, Golden-gai menawarkan suasana Tokyo pada zaman 1970-an, apabila artis muda, penulis dan pelakon mengunjungi ke tempat itu yang mempunyai atmosfera bohemian dan minuman murah.

“Kedai-kedai makan mereka ada yang sudah wujud sekitar 40 atau 50 tahun,” kata Ishiba. “Mereka berkongsi perasaan yang sama untuk mewujudkan kejiranan yang bagus.”

ARTIKEL YANG SAMA