Kediaman warga emas runtuh

Kediaman warga emas runtuh

Oleh Arissa

 

LAWAS, 14 Sept – Dua beradik warga emas di Kampung Batu Dua, Jalan Trusan dekat sini mengalami detik cemas, apabila kediaman mereka roboh dalam kejadian yang berlaku awal pagi Sabtu lalu.

Mangsa, Sapali Nudin, 70, dan adik perempuannya, Suboh Nudin, 66, sedang tidur ketika kejadian berlaku sekitar jam 3 pagi itu.

Kedua-dua mangsa yang tidak berkahwin, mendiami rumah kayu yang agak usang mengakibatkan struktur rumah berkenaan tidak dapat bertahan menyebabkan bahagian dapur mereka jatuh menyembah bumi.

Pegawai Kebajikan Lawas, Mohd Nur Khairul Pungut berkata dua beradik mendiami rumah usang sejak sekian lama.

“Sapali merupakan seorang pesara Majlis Daerah Lawas (MDL) manakala adiknya Suboh penerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Lawas,” katanya di sini semalam.

RUNTUH...Bahagian dapur warga emas yang runtuh.
RUNTUH…Bahagian dapur warga emas yang runtuh.

Khairul berkata lagi keadaan rumah yang agak usang menyebabkan beberapa struktur rumah tidak dapat berfungsi sehingga roboh dan runtuh ke tanah.

“Hasil siasatan kita juga mendapati kejadian rumah runtuh itu bukan disebabkan bencana alam, sebaliknya keadaan rumah yang agak usang,”ujarnya.

Menurut beliau, kejadian itu sudah dimaklumkan kepada pihak dan agensi berkaitan serta parti politik lain untuk tujuan mendapatkan bantuan selanjutnya.