Kedudukan dagangan global EU terjejas

Kedudukan dagangan global EU terjejas

KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) – Referendum Britain keluar dari Kesatuan Eropah (EU) – Brexit – dijangka memberi kesan kepada kedudukan blok ekonomi itu sebagai kuasa perdagangan global utama, kata Ketua Delegasi EU di Malaysia, Luc Vandebon.

Beliau berkata perkumpulan itu, yang menguasai 22 peratus dagangan dunia, akan menyaksikan penurunan kepada antara 18 dan 19 peratus selepas UK memuktamadkan perkara itu selepas dua tahun.

“Jelas sekali ia mempunyai kesan ke atas kepentingan ekonomi dan kedudukan ekonomi, tetapi perlu diingat bahawa dengan keanggotaan 27 negara yang kami akan ada dalam EU ini, kami masih mempunyai 450 juta rakyat yang tidak diabaikan.

“Ia menjejaskan sedikit kedudukan ekonomi kami, kesan keputusan itu boleh dilihat ketika ini dari pasaran saham, anda boleh saksikan apa yang terjadi kepada (mata wang) pound,” katanya kepada Bernama dalam temubual melalui telefon hari ini.

Beliau berkata semua pihak perlu bertahan daripada mengambil keputusan terburu-buru terhadap kesan jangka pendek dan panjang Brexit yang akan menyebabkan ketidaktentuan seterusnya kepada pasaran saham dan dagangan mata wang.

Bagi pandangan peribadinya, Vandebon berkata, Brexit akan turut mempengaruhi ekonomi dunia yang lebih luas disebabkan kepentingan EU dalam ekonomi dunia, dan ia akan memberi kesan besar kepada UK itu sendiri.

Mengenai kenyataan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri minggu lepas bahawa rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-EU akan diteruskan selepas Brexit, Vandebon berkata, beliau setuju dengan ulasan berkenaan, dengan menambah bahawa Brexit tidak akan memberi kesan antara Malaysia dan EU.

“Satu negara anggota yang keluar tidak akan memberi kesan besar kepada kami (EU), tiada kaitan secara langsung Brexit ke atas hubungan Malaysia-EU,” katanya.

Khamis lepas, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Dr Rebecca Fatima Sta Maria berkata Malaysia masih berminat untuk meneruskan rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia-Kesatuan Eropah (EU) walaupun jika United Kingdom (UK) memutuskan untuk keluar dari blok ekonomi tersebut.

Sebelum ini dilaporkan, pada 2015, UK merupakan rakan dagangan ketiga terbesar Malaysia di EU dan sumber pelaburan keempat terbesar.

Setakat 2015, terdapat 433 projek pembuatan dengan penyertaan UK telah dilaksanakan, bernilai RM6.8 bilion dari segi pelaburan.

Selain itu, Vandebon enggan mengulas mengenai keputusan Perdana Menteri UK, David Cameron untuk meletak susulan keputusan Brexit, dengan mengatakan bahawa ia adalah “hal ehwal politik domestik sebenar”.

ARTIKEL YANG SAMA