Kedudukan van Gaal diperhatikan

Kedudukan van Gaal diperhatikan

MANCHESTER, 20 Dis (AFP) – Pengurus Manchester United, Louis van Gaal mengakui kedudukannya kini diperhatikan selepas skuadnya tewas 2-1 di laman sendiri kepada Norwich City malam tadi.

United tewas dalam semua tiga perlawanan terakhir dalam semua kejohanan dan melalui enam perlawanan tanpa kemenangan, ketika mereka kini mengejar pendahulu Liga Perdana Inggeris, Leicester City dengan sembilan mata. Van Gaal sudah menyedari kritikan mengenai persembahan buruk United tatkala Jose Mourinho kini sudah bebas selepas dipecat oleh Chelsea Khamis lalu, sekali gus pengendali dari Belanda itu mengakui dia kini menjadi tumpuan.

“Itulah dunia bola sepak,” katanya. “Saya tahu mengenainya, ahli majlis juga tahu, pemain juga tahu. Kami tidak biasa melaluinya kerana secara normal kami menang, jadi ia tempoh yang sukar.

“Kami sudah tewas tiga perlawanan berturut-turut, jadi tidak banyak yang berlaku buat Manchester United. Kami tidak boleh menerimanya dan kerana itu saya perlu ulangi, kami perlu kekal bersama dan percaya terhadap diri sendiri. “Saya juga pernah merasai perkara yang sama dengan pasukan lain dan kakitangan lain. Perkara utama ialah anda perlu menjadi profesional dan melakukan perkara yang anda perlu lakukan dan bekerja keras untuk keluar dari tempoh yang teruk ini.” Ditanya sama ada dia merasakan United akan menyokongnya, dia membalas: “Ia bukan terletak pada saya untuk bercakap mengenai soalan itu, tapi kita akan lihat.”

ARTIKEL YANG SAMA