Kedutaan Arab Saudi anjur Majlis Sungkai

Kedutaan Arab Saudi anjur Majlis Sungkai

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Jun – Kedutaan Besar Kerajaan Arab Saudi di Negara Brunei Darussalam telah mengadakan Majlis Berbuka Puasa, hari ini, di Dewan VIP, Tingkat 4, Hotel Antarabangsa Rizqun.

Hadir selaku jemputan khas ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; dan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah.

Hadir bagi mengalu-alukan jemputan khas ialah Kedutaan Besar Kerajaan Arab Saudi, Chargé d’Affaires a.i., Hussain Mohammed M. AlDajani.

Majlis telah dimulakan dengan majlis berbuka puasa, diikuti dengan solat fardu Maghrib berjemaah yang telah diimamkan oleh Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Harun bin Haji Junid, sebelum para jemputan menikmati jamuan yang telah dihidangkan.

“Meluangkan masa bulan suci Ramadan di Negara Brunei Darussalam, sebuah negara ‘Adobe of Peace’ mempunyai cita rasa tersendiri dengan suasana dan alam semula jadi yang kaya yang menimbulkan perangsang luar biasa untuk kita semua bagi menunaikan amal ibadat kita dan bermurah hati dalam memberi pada yang terbaik kita di tahap peribadi dan kolektif,” kata Hussain Mohammed M. AlDajani dalam ucapannya.

Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin (kiri), Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi dan Yang Dimuliakan Pehin Mohd Tawih (kanan) hadir pada majlis berkenaan.
Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin (kiri), Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi dan Yang Dimuliakan Pehin Mohd Tawih (kanan) hadir pada majlis berkenaan.

“Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah membuat usaha yang terpuji dalam pembangunan, pembersihan dan penyelenggaraan infrastruktur yang berterusan di semua masjid di seluruh negara dan telah benar-benar menjadikan mereka bersedia dan pada penampilan terbaik mereka dengan keserasian yang sempurna dengan bulan yang suci ini bagi tujuan ibadah dan taat kepada Allah.

“Perkara ini, bersama-sama dengan nikmat-nikmat lain yang dikurniakan Allah S.W.T. kepada Brunei Darussalam seperti ketenangan, melambangkan satu lagi fasa evolusi kebudayaan dan keagamaan antara rakyat negara ini serta interaksi rakyatnya yang baik (Islam dan bukan Islam) dengan rasa hormat dan penghargaan terhadap budaya mereka masing-masing, yang juga sangat jelas daripada kalangan bukan Islam yang menahan diri daripada makan dan minum di khalayak ramai bagi menghormati majoriti penduduk Islam,” tambahnya lagi.

ARTIKEL YANG SAMA