Kedutaan AS adakan Resepsi Sambutan Hari Kemerdekaan

Kedutaan AS adakan Resepsi Sambutan Hari Kemerdekaan

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Sept – Kedutaan Besar Amerika Syarikat (AS) di Brunei Darussalam malam ini telah mengadakan Majlis Resepsi Sambutan Hari Kemerdekaan ke-240 tahun Amerika Syarikat yang berlangsung di Dewan Indera Samudera, Empire Hotel & Country Club, Jerudong.

Majlis sambutan yang membawa tema ‘Celebrating America: Birthplace of Jazz’ turut dihadiri oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan datin.

Duta Besar AS ke Brunei Darussalam, Craig Allen dalam ucapannya antara lain berkata, jaz menggambarkan Amerika itu sendiri.

“Jaz, sejarahnya, dan kebudayaan yang dikaitkan dengannya menunjukkan ciri-ciri yang dipegang oleh orang Amerika iaitu kepelbagaian, inovasi, kerjasama dan keseronokan,” ujarnya.

Menurut beliau, jaz lahir di New Orleans 100 tahun dahulu semasa perang dunia pertama, dan ia menjadi fenomena global yang sentiasa membantu membentuk muzik dan budaya di seluruh dunia sehingga hari ini.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi bersama Craig Allen memotong kek Sambutan Hari Kemerdekaan ke-240 tahun Amerika Syarikat.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi bersama Craig Allen memotong kek Sambutan Hari Kemerdekaan ke-240 tahun Amerika Syarikat.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai hubungan di antara AS dan Brunei Darussalam menurutnya, kedua-dua buah negara telah mempunyai hubungan perjanjian selama 171 tahun, sejak lawatan Perlembagaan USS pada tahun 1845, dan kerjasama ini bertahan dari generasi ke generasi.

“Kami betul-betul berhasrat untuk mengesahkan dan melaksanakan perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik dengan Brunei Darussalam dan 10 rakan lain pada masa depan.

“Selepas ia dicapai, kita akan secara efektif mempunyai perdagangan bebas dalam kalangan negara-negara ahli menjadikan ekonomi dan rakyat lebih rapat bersama,” ujar beliau lagi.

Majlis itu turut menyaksikan upacara memotong kek Sambutan Hari Kemerdekaan ke-240 tahun Amerika Syarikat oleh Craig Allen dan Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi bersama pasangan masing-masing.

ARTIKEL YANG SAMA