Kedutaan AS anjur Pameran Pendidikan

Kedutaan AS anjur Pameran Pendidikan

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Feb – Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Brunei Darussalam akan mengadakan Pameran Pendidikan Tinggi AS 2016, yang kali ini akan diadakan di dua tempat berasingan, iaitu di Tingkat 4, Songket Ballroom, Hotel Antarabangsa Rizqun, di sini, pada 29 Februari dan Dewan Sekolah Menengah Sayyidina Ali (SMSA), Kuala Belait pada 1 Mac.

Pegawai Perhubungan Awam di Kedutaan AS, Dr. Edward Findlay semasa ditemui Media Permata di Kafe Starbucks, Kompleks Membeli-belah Mabohai, di sini hari ini, menjelaskan bahawa pameran berkenaan merupakan anjuran bersama EducationUSA dan kedutaan berkenaan.

Sebanyak 13 buah universiti dan kolej AS yang ikut serta dalam pameran berkenaan iaitu The University of Arizona, San Mateo Community College District, Murray State University, John Carroll University, Miami University, The University of Tulsa, Messiah College, Utah Valley University, Aviation Institute of Maintenance, Green River College, Concordia University Wisconsin, Northeast Winsonsin Technical College dan Full Sail University.

Dr. Edward berkata, sebahagian besar daripada tugas mereka adalah untuk menggalakkan dan memastikan bahawa rakyat Brunei dan semua orang yang tinggal di Brunei sedar akan semua peluang-peluang yang wujud di seluruh dunia untuk pendidikan tinggi yang terbaik.

“Dari segi perspektif kami, segalanya yang ditawarkan oleh Amerika Syarikat mengandungi sistem pendidikan yang lebih tinggi. Ia berkemungkinan adalah sistem pendidikan tinggi yang terbesar di dunia dari segi bilangan universiti, bilangan jurusan, pengkhususan, kemudahan fakulti dan penyelidikan lanjutan dan sebagainya dan saya fikir oleh sebab itu, ia menjadi destinasi pertama bagi pelajar antarabangsa dari seluruh dunia, terutamanya dari setiap negara di Asia, termasuk Brunei,” ujar beliau lagi mengenai pendidikan di AS.

Dr. Edward dan Mayra ketika menunjukkan buku ‘Studying in The United States of America – A Guide for Bruneian Students’.
Dr. Edward dan Mayra ketika menunjukkan buku ‘Studying in The United States of America – A Guide for Bruneian Students’.

Sementara itu, Penasihat EducationUSA, Mayra T. Robles pula berkata, misi utama mereka adalah untuk menyediakan maklumat yang tidak berat sebelah, tepat, menyeluruh dan terkini secara percuma untuk sesiapa sahaja yang mahu mengetahui lebih lanjut mengenai pendidikan tinggi di Amerika Syarikat.

“Inilah yang membezakan kami daripada negara-negara lain di mana ejen terlibat atau ada pihak ketiga yang akan membantu para pelajar untuk memohon di universiti atau kolej tertentu.

“Di Amerika kami percaya bahawa pelajar perlu memilih universiti yang bagi mereka adalah terbaik. Oleh itu, kita menunjukkan kepada mereka dan memberikan semua pilihan, semua sumber yang ada dan mereka sendiri yang membuat keputusan.

“Kami tidak mewakili mana-mana universiti atau kolej tertentu, kami tidak menerima sebarang dana atau sokongan daripada mereka,” tekan beliau.

Dalam pada itu, Dr. Edward turut memberitahu bahawa terdapat peningkatan dari segi pendaftaran di Brunei jika dibandingkan pada tahun 2014/2015 dengan tahun-tahun sebelumnya iaitu sebanyak 22 peratus pelajar Brunei yang belajar di Amerika Syarikat.

Manakala pada tahun lalu, jumlah pengunjung yang datang ke pameran seperti ini hampir 800 orang dan pada tahun ini mereka menjangkakan kira-kira 500 orang pengunjung di Bandar Seri Begawan dan lebih kurang 300 orang akan mengunjungi pameran mereka di Kuala Belait.

ARTIKEL YANG SAMA