Kedutaan Besar Myanmar rai Hari Kemerdekaan

Kedutaan Besar Myanmar rai Hari Kemerdekaan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Jan – Kedutaan Besar Republik Kesatuan Myanmar di Brunei Darussalam, hari ini, telah mengadakan Majlis Resepsi Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kemerdekaan ke-68 republik berkenaan, yang berlangsung di Songket Ballroom, Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan isteri, Datin Hajah Kalshom binti Haji Suhaili.

Kehadiran Yang Berhormat Pehin dan isteri dialu-alukan oleh Duta Besar Republik Kesatuan Myanmar ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama U Cho Htun Aung dan isteri.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan kedua-dua negara dan diikuti dengan ucapan alu-aluan Tuan Yang Terutama, yang antara lain menyatakan, hubungan antara Republik Kesatuan Myanmar dan Negara Brunei Darussalam semakin berkembang dari segi ekonomi, minyak dan gas, kesihatan dan banyak lagi.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi semasa menghadiri Majlis Resepsi Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kemerdekaan Republik Kesatuan Myanmar ke-68.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi semasa menghadiri Majlis Resepsi Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kemerdekaan Republik Kesatuan Myanmar ke-68.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi dan Tuan Yang Terutama U Cho Htun Aung memotong kek ulang tahun Hari Kemerdekaan Myanmar bersama isteri masing-masing.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi dan Tuan Yang Terutama U Cho Htun Aung memotong kek ulang tahun Hari Kemerdekaan Myanmar bersama isteri masing-masing.

Beliau berkata, majlis berkenaan adalah untuk meraikan kemerdekaan Myanmar dan dengan adanya majlis ini, diharap hubungan kedua-dua negara sejak tahun 1993 akan semakin erat.

“Kami percaya dengan sokongan padu Negara Brunei Darussalam, Myanmar akan dapat mengembangkan hubungan demokratik antara kedua-dua buah negara,” jelas beliau.

Yang Berhormat Pehin dan Tuan Yang Terutama kemudian memotong kek ulang tahun Hari Kemerdekaan Myanmar bersama isteri masing-masing, sebelum diteruskan dengan penyampaian cenderahati kepada tetamu kehormat serta datin.

ARTIKEL YANG SAMA