Kedutaan China rai ulang tahun

Kedutaan China rai ulang tahun

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Sept – Kedutaan Republik Rakyat China di Negara Brunei Darussalam malam ini telah mengadakan Majlis Resepsi Ulang Tahun Penubuhan Republik Rakyat China ke-67 dan Ulang Tahun Diplomatik ke-25 tahun antara China dan Brunei yang berlangsung di Dewan Songket Ballroom, Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim.

Turut hadir ialah para perwakilan dari negara-negara sahabat, pegawai-pegawai kanan kerajaan, kakitangan dari Kedutaan Republik Rakyat China serta para jemputan khas.

Duta Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Yang Jian dalam ucapannya antara lain berkata bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan berangkat mengadakan lawatan ke China sebanyak 10 kali dan menunjukkan bahawa Baginda Sultan begitu tekun dalam meningkatkan lagi hubungan di antara Brunei dan China.

Sejak lawatan berkenaan, menurut beliau, hubungan kerjasama strategik Brunei-China telah pun ditubuhkan.

Yang Jian ketika menyampaikan cenderahati kepada Yang Berhormat Pehin.
Yang Jian ketika menyampaikan cenderahati kepada Yang Berhormat Pehin.

“Republik Rakyat China memang mengambil berat tentang hubungannya bersama Brunei dan akan sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan Brunei dalam pelbagai bidang dalam sama-sama untuk mencapai kerjasama yang bermanfaat bersama China dan Brunei.”

Baru-baru ini, ujar beliau lagi, Presiden Xi Jinping dan Baginda Sultan telah berkenan menghantar titah perutusan tahniah di mana kedua-dua pihak telah melahirkan perasaan gembira terhadap perkembangan hubungan dua hala sepanjang 25 tahun ini.

Majlis turut menyaksikan upacara memotong kek ulang tahun yang disempurnakan bersama oleh Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman dan Yang Jian, diikuti dengan penyampaian cenderahati kepada Yang Berhormat Pehin.

ARTIKEL YANG SAMA