Kedutaan Jepun anjur Festival Filem Anime

Kedutaan Jepun anjur Festival Filem Anime

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Okt – Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam dan Yayasan Jepun akan menganjurkan Festival Filem Anime Jepun di The Core, Universiti Brunei Darussalam pada 14 hingga 16 Oktober depan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkannya, Kedutaan Jepun memaklumkan bahawa acara berkenaan akan dibuka kepada orang ramai pada 15 dan 16 Oktober dari 1 petang hingga 6 petang, manakala itu, majlis pembukaan pada 14 Oktober hanya bagi para jemputan sahaja.

Empat filem akan ditayangkan semasa festival berkenaan, dengan dua filem akan ditayangkan pada 15 Oktober iaitu ‘Princess Arete’ pada jam 1:30 petang dan ‘5 Centimeters per second’ bermula jam 4 petang.

Sementara itu, pada 16 Oktober, filem ‘5 Centimeters per Second’ akan dimainkan sekali lagi pada jam 3:45 petang di samping dua filem lain iaitu ‘Miyori in the Sacred Forest’ yang bermula pukul 1:30 petang dan ‘The Place Promised in Our Early Days’ jam 5:20 petang.

Kemasukan bagi menyaksikan tayangan filem-filem berkenaan adalah percuma, oleh itu siapa yang berminat untuk menyaksikannya perlu hadir lebih awal kerana tempat duduk adalah berdasarkan yang dahulu didahulukan.

Kesemua filem adalah filem animasi dan dalam Bahasa Jepun dengan sari kata Bahasa Inggeris.

Sehubungan itu, para peminat animasi adalah dialu-alukan untuk menghadiri festival berkenaan dan tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan beberapa filem animasi terbaik dari Jepun.