Kedutaan Jepun rai Hari Keputeraan Maharaja

Kedutaan Jepun rai Hari Keputeraan Maharaja

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Nov – Kedutaan Jepun di Brunei Darussalam, hari ini, telah mengadakan majlis resepsi sempena sambutan Hari Keputeraan Maharaja Jepun, Maharaja Akihito yang mencapai umur 83 tahun di Indera Samudra, Empire Hotel & Country Club, Jerudong.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dan datin, selaku tetamu kehormat majlis.

Semasa berucap pada majlis berkenaan, Duta Besar Jepun ke Brunei Darussalam, Noriko Iki telah menyentuh mengenai kerjasama di antara Brunei dan Jepun.

Menurut beliau, kedua-dua negara mempunyai hubungan ekonomi yang kukuh seperti pelaburan di Brunei oleh syarikat-syarikat Jepun dan eksport dari Brunei ke Jepun seperti projek penghantaran gas cecair asli Mitsubishi Corporation dan juga penghasilan metanol oleh Brunei Methanol Company (BMC).

Pelaburan terbaru Jepun, tambah beliau, telah membawa industri dan teknik baru ke negara ini.

 Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar bersama datin dan Noriko Iki sama-sama memotong kek sempena Hari Keputeraan Maharaja Jepun.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar bersama datin dan Noriko Iki sama-sama memotong kek sempena Hari Keputeraan Maharaja Jepun.

MC Biotech sebagai anak syarikat Mitsubishi Corporation serta Nissui juga memulakan projek bagi memupuk mikro alga untuk mengekstrak astaxanthin pada Julai lalu.

Selain itu, VAM Brunei sebagai anak syarikat Nippon Steel & Sumitomo Metal Corporation dan Sumitomo Corporation turut memulakan operasi mereka bulan ini dalam memberikan perkhidmatan sambungan barangan tubular minyak.

Menurut Noriko Iki lagi, dengan hubungan pertukaran belia, Kedutaan Jepun bersama kerajaan Brunei sama-sama menjayakan acara besar baru-baru ini.

“Kami telah menganjurkan Pertukaran Badminton Brunei-Jepun sempena sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70 tahun sebagai program pertukaran sukan. Ia merupakan satu penghormatan kerana ramai yang menyaksikan perlawanan persahabatan tersebut di Stadium Tertutup.

“Saya percaya saya telah menyumbang banyak untuk membangunkan kerjasama di antara Brunei dan Jepun dalam kapasiti saya sebagai duta besar. Saya berjanji untuk meneruskan usaha dalam memperkukuhkan kerjasama di antara Brunei dan Jepun,” tambahnya.

Pada majlis itu, Yang Berhormat Pehin turut memotong kek sempena Hari Keputeraan Maharaja Jepun bersama Noriko Iki.

ARTIKEL YANG SAMA