Kedutaan Jepun taja Awang Seruddin sertai TPAM

Kedutaan Jepun taja Awang Seruddin sertai TPAM

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Feb – Atas tajaan Kedutaan Jepun di Brunei Darussalam, Pengerusi Penggiat Seni Tanah Air Brunei (PeSTAB), Awang Seruddin bin Awang Damit akan menyertai Program Jemputan bagi Mesyuarat Seni Persembahan (TPAM) yang akan berlangsung di Yokohama, Jepun dari 6 hingga 14 Februari ini.

Dalam sesi mesyuarat berkumpulan di TPAM, Awang Seruddin akan menyampaikan pembentangan bertajuk ‘Latest art scene in Brunei’ dan bercakap mengenai industri perfileman, ‘Asik’ iaitu seni patung yang dipopularkan oleh penduduk Kampong Ayer serta mengenai aktiviti PeSTAB.

Menurut kenyataan Kedutaan Jepun di Brunei Darussalam, TPAM adalah salah satu daripada platform antarabangsa yang penting bagi seni persembahan kontemporari di Asia.

Lebih menumpukan ke atas Asia, TPAM memperkenalkan seni persembahan kontemporari di Asia kepada profesional-profesional Jepun dan antarabangsa.

Ia juga berfungsi sebagai tempat di mana para artis dan profesional dari Jepun dan seluruh dunia berhimpun untuk berkomunikasi dan bertukar-tukar idea bagi memahami lagi serta membincangkan isu-isu berkaitan dengan keadaan semasa global mengenai kesenian.

Awang Seruddin (tengah) akan menyertai TPAM di Yokohama, Jepun dari 6 hingga 14 Februari ini.
Awang Seruddin (tengah) akan menyertai TPAM di Yokohama, Jepun dari 6 hingga 14 Februari ini.

Kedutaan Jepun dalam kenyataannya turut melahirkan harapan agar Program Jemputan bagi TPAM ini akan membantu mengukuhkan lagi hubungan antara Jepun dan Brunei menerusi pertukaran kebudayaan.