Kedutaan Korea rai Hari Kebangsaan

Kedutaan Korea rai Hari Kebangsaan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Sept – Kedutaan Republik Korea di Negara Brunei Darussalam, malam ini, telah mengadakan Majlis Resepsi sempena Hari Kebangsaan Pengasasan Republik Korea yang berlangsung di Dewan Indera Samudera, The Empire Hotel & Country Club, Jerudong.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Bahrin bin Abdullah dan isteri, Pengiran Datin Hajah Norsiah binti Pengiran Haji Hamdan.

Terdahulu majlis dimulakan dengan nyanyian Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam disusuli Lagu Kebangsaan Republik Korea.

Menurut Duta Republik Korea ke Negara Brunei Darussalam, Cho Won-myung, Korea berada pada kedudukan ke-11 dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan industri pembuatan berteknologi tinggi pada tahap terbaik di dunia seperti telefon pintar, LED, semikonduktor dan kereta.

Di samping itu, budaya Korea juga menjadi pilihan orang ramai seperti masakan Korea, K-Pop, K-Drama dan banyak lagi.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Bahrin dan Cho Won-myung bersama isteri masing-masing ketika sedang memotong kek.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Bahrin dan Cho Won-myung bersama isteri masing-masing ketika sedang memotong kek.
Antara tetamu lain yang hadir pada majlis tersebut.
Antara tetamu lain yang hadir pada majlis tersebut.

Menurut Cho Won-myung lagi, kedutaan Korea kini sering kali berusaha meningkatkan hubungan dalam tiga bahagian iaitu keamanan dan keselamatan serantau, perkongsian yang berorientasikan masa depan dan pertukaran rakyat dengan rakyat.

Cho Won-myung juga gembira dengan kunjungan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Korea sempena ulang tahun ke-30 hubungan diplomatik kedua-dua negara dan ulang tahun ke-25 dialog perkongsian ROK-ASEAN.

“Saya amat yakin lawatan Baginda Sultan itu berkhidmat sebagai satu peluang dalam meningkatkan lagi hubungan persahabatan Korea-Brunei yang telah berusia 30 tahun itu ke peringkat yang lebih baik,” jelas Cho.

Pada majlis itu, Yang Berhormat Dato dan Cho juga memotong kek Ulang Tahun Hari Kebangsaan Pengasasan Republik Korea diikuti dengan pertukaran cenderamata. Para jemputan yang hadir juga turut menyaksikan persembahan kesenian tradisi Korea.

ARTIKEL YANG SAMA