Kedutaan Kuwait rai Hari Kebangsaan ke-55

Kedutaan Kuwait rai Hari Kebangsaan ke-55

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar Oleh Bahiyah Bakir

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Feb – Kedutaan Besar Kuwait di Negara Brunei Darussalam telah mengadakan majlis resepsi makan malam bagi meraikan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Kuwait ke-55 yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka, di sini, hari ini.

Hadir mewakili kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke majlis itu ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.

Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kuwait ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dr. Fahad Mashary Al-Thafiri dalam ucapannya menekankan bahawa hubungan erat antara Kuwait dan Brunei semakin berkembang menerusi pelbagai bidang.

Menurut beliau, hubungan diplomatik kedua-dua negara telah ditubuhkan pada 1 Mei 1990 dan terus berkembang meliputi bidang perdagangan, ekonomi, kebudayaan, perhubungan, pendidikan, kesihatan, pelancongan dan sukan.

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi dan Tuan Yang Terutama Dr. Fahad Mashary Al-Thafiri ketika memotong Kek Ulang Tahun Hari Kebangsaan Kuwait.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi dan Tuan Yang Terutama Dr. Fahad Mashary Al-Thafiri ketika memotong Kek Ulang Tahun Hari Kebangsaan Kuwait.

Selaku wakil negara Kuwait, Tuan Yang Terutama melahirkan harapan agar hubungan Kuwait dan Brunei akan terus erat dan sentiasa berkongsi aspek-aspek yang berkepentingan kedua-dua buah negara.

Majlis resepsi berkenaan telah dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan Kuwait, kemudian majlis turut menyaksikan Yang Berhormat Pehin dan Tuan Yang Terutama memotong Kek Ulang Tahun Hari Kebangsaan Kuwait.

Majlis juga diselitkan dengan tayangan klip video mengenai Kuwait.

ARTIKEL YANG SAMA