Kefahaman amalan harian

Kefahaman amalan harian

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Mac – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar dengan kerjasama Felo Kolej Kediaman, baru-baru ini, telah mengadakan Diskusi Ilmu Siri Pertama yang berlangsung di Auditorium UNISSA.

Diskusi ilmu siri pertama itu merupakan platform pengajian kitab-kitab kuning atau kitab-kitab Turath kepada para pelajar dengan pelbagai disiplin ilmu warisan para ulama terdahulu.

Ia merupakan susulan Program Talaqqi Kitab Turath anjuran Felo Kolej Kediaman Mahasiswa dan Mahasiswi, Bahagian Hal Ehwal Pelajar bagi mempergiat aktiviti-aktiviti akademik dan menghidupkan interaktif perbincangan ilmu di kampus UNISSA.

Sebuah kitab dalam disiplin ilmu Syariah bertajuk ‘Hasyiyah al-Dimyathi Ala Syarhi al-Waraqat’ tulisan Ahmad bin Muhammad al-Dimyathi dibincangkan pada program berkenaan.

Dr. Haji Abdur Rahman Haqqi ketika menyampaikan taklimatnya.
Dr. Haji Abdur Rahman Haqqi ketika menyampaikan taklimatnya.
Antara mahasiswa UNISSA yang menghadiri taklimat tersebut.
Antara mahasiswa UNISSA yang menghadiri taklimat tersebut.

Program ini dihasratkan dapat memberikan pencerahan yang jelas kepada para siswa/siswi dan orang awam seterusnya memantapkan kefahaman amalan harian.

Taklimat ini telah disampaikan oleh Pensyarah di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Dr. Haji Abdur Rahman Haqqi.

Antara objektif utama bagi Diskusi Ilmu ini adalah untuk menghidupkan kembali tradisi pembelajaran ilmu Islam secara talaqqi dan bersanad, mendedahkan kepada mahasiswa kitab-kitab Turath secara talaqqi, di samping memperkasa keupayaan siswa/siswi UNISSA dalam berinteraksi dengan kitab-kitab Turath.

ARTIKEL YANG SAMA