Kefahaman isu kemiskinan

Kefahaman isu kemiskinan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Ogos – Dalam usaha untuk mendidik dan memperkasakan pemimpin belia tempatan supaya mempunyai pemahaman yang lebih baik terhadap isu kemiskinan di Negara Brunei Darussalam, Persatuan SCOT telah melancarkan Bengkel Belia Membasmi Kemiskinan (YAP) yang berlangsung di Dewan Pusat Belia, di ibu negara, hari ini.

Bengkel selama tiga hari sehingga 21 Ogos ini membawa tema ‘Educate. Empower. Execute’ dan disertai oleh lebih 25 orang belia tempatan.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyempurnakan pelancaran bengkel itu ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dato Paduka Dr Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif TelBru, David Kay; pegawai-pegawai dari KKBS dan juga para jemputan lainnya.

Pengurus Projek Bengkel YAP, Awang Mohd Hazimi bin Haji Jaidi dalam ucapannya menjelaskan bahawa misi Persatuan SCOT untuk menjadi pemangkin dalam membasmi kemiskinan di Brunei.

Dato Paduka Dr Haji Affendy semasa menghadiri majlis itu.
Dato Paduka Dr Haji Affendy semasa menghadiri majlis itu.

“Membasmi kemiskinan telah pun diketengahkan sebagai salah satu matlamat dan pelan tindakan kerajaan Baginda Sultan melalui Wawasan 2035 dan projek ini bertujuan untuk bukan sahaja meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap isu kemiskinan di Brunei, tetapi juga untuk melatih dan mendidik generasi para belia mengenai kemiskinan isu dalam Brunei.

“Ini juga termasuk membantu dan menguatkan usaha sedia ada dalam penambahbaikan berterusan dalam standard kehidupan di negara ini dari segi mencapai kemiskinan sifar dan juga untuk menggalakkan penglibatan sivik dengan memudahkan kerjasama mengenai pembasmian kemiskinan dan masalah di kalangan peserta dan pihak berkuasa tempatan dan badan-bukan kerajaan,” ujarnya.

Setelah menamatkan bengkel ini, beliau menyeru agar para peserta akan dapat lebih berkembang maju dan menawarkan idea-idea projek menarik berdasarkan idea-idea mereka semasa aktiviti perbincangan fokus kumpulan.

Beliau menjelaskan lagi, bagi mana-mana kumpulan yang mempunyai idea paling kreatif dan inovatif, serta telah dilantik oleh para hakim akan dianugerahkan wang geran $5,000 dengan bimbingan dan bantuan daripada SCOT serta sokongan daripada autoriti tempatan dan institusi yang ditubuhkan di Brunei.

Bengkel juga akan diisikan dengan forum yang mengetengahkan tajuk-tajuk menarik, aktiviti-aktiviti perancangan projek dan pembentangan serta lawatan ke rumah-rumah orang yang kurang berkemampuan, dengan tujuan untuk memberi kesedaran dan memahami dengan sepenuhnya keadaan hidup yang dilalui oleh orang-orang yang kurang berkemampuan.

Majlis pelancaran pagi tadi itu turut menyaksikan perbincangan forum bertajuk ‘Peranan Pelbagai Pihak Berkepentingan dalam Mencapai Sifar Kemiskinan’ yang telah dipengerusikan oleh Toastmaster, Stuart Lee dari Brunei Advances Speaker’s Club dan menampilkan tiga orang ahli panel yang terdiri daripada Timbalan Presiden 1 Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM), Dayang Nur Judy binti Abdullah; wakil Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM),
Dayangku Siti Saihalina binti Pengiran Mohd Daud dan wakil SCOT, Awang Mohd Khairul Azmi bin Haji Mohd Salleh.

Kemudian pada sesi petang, bengkel diteruskan dengan forum bertajuk ‘Mewujudkan Peluang-Peluang Mapan Menerusi Keusahawanan dan Kesukarelawanan’, aktiviti perancangan projek, projek penyampaian dan teknik-teknik berbicara di khalayak ramai.

ARTIKEL YANG SAMA