Kefahaman kualiti ISO 9001:2015

Kefahaman kualiti ISO 9001:2015

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Ogos – Politeknik Brunei, baru-baru ini, telah mengadakan Sesi Latihan mengenai ‘Pengenalan kepada Kursus Pengurusan Kualiti ISO 9001:2015’ yang telah berlangsung di Pusat Pengajaran Inovatif dan Bilik Latihan Pembelajaran Politeknik Brunei.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Penolong Pengarah Politeknik Brunei, merangkap Pengerusi Pasukan Petugas bagi Pembangunan Arahan Kerja (WI) dan Standard Prosedur Kerja (SOP), Awang Alias bin Haji Abu Bakar.

Sesi latihan selama dua hari, hingga kelmarin, itu telah disertai oleh kira-kira 45 orang yang terdiri daripada ketua-ketua jabatan, ketua-ketua sekolah, pensyarah dan kakitangan pentadbiran dari Politeknik Brunei

Pengendalian sesi latihan berkenaan merupakan hasil kerjasama di antara Ketua Pusat Pengajaran Inovatif dan Pembelajaran, Dr. Malai Zeiti binti Sheikh Abdul Hamid dan Ketua Jabatan Jaminan Kualiti, Dr. Tang Shi Siong.

Ia telah dijalankan oleh ISO Management Consultancy dari United Kingdom, Pengarah Navi-Q Limited UK, Faisal Riaz.

Beliau antara lain menjelaskan, ISO 9001:2015 merupakan standard pengurusan kualiti antarabangsa dan adalah standard pengurusan kualiti yang paling diiktiraf dan digunakan di dunia.

Dalam kenyataan yang telah diberikan, ISO 9001:2015 merupakan standard terkini daripada ISO 9001:2008 dan piawaian terbaru ini memberi penekanan yang besar dan jelas mengenai pemahaman serta mengurangkan risiko yang dapat memberikan tumpuan ke arah pemahaman perniagaan, operasi dan kesinambungan perkhidmatan.

Sesi latihan ini bertujuan untuk mewujudkan kefahaman asas mengenai pengurusan kualiti dan bagaimana ia boleh berkesan serta berfungsi dengan menggunakan ISO 9001:2015 Standard Antarabangsa.

ARTIKEL YANG SAMA