Kefahaman pengambilan pekerja asing

Kefahaman pengambilan pekerja asing

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 11 Ogos – Untuk memberikan kefahaman kepada para majikan berhubung perubahan dan tatacara dalam pembayaran wang taruhan pengambilan pekerja asing, Jabatan Buruh, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri telah mengadakan Jerayawara Pemberigaan Polisi Pembayaran Wang Taruhan Pengambilan Pekerja Asing bagi Daerah Tutong yang berlangsung di Dewan Utama, Kompleks Kemasyarakatan Daerah Tutong.

Hadir selaku pengerusi majlis ialah Pemangku Pesuruhjaya Buruh, Haji Rani bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusof.

Turut hadir dan menyertai jerayawara tersebut ialah penolong-penolong pesuruhjaya buruh, pegawai-pegawai kanan di Jabatan Buruh, dan pegawai-pegawai dari Syarikat Takaful Brunei Am Sdn Bhd.

Haji Rani menjelaskan, tujuan utama perubahan pembayaran wang taruhan pengambilan pekerja asing ini adalah bagi mengurangkan beban majikan dalam membayar wang taruhan pekerja asing dan juga sebagai mendokong hasrat dan misi kerajaan Negara Brunei Darussalam untuk mewujudkan suasana ‘pro business’ dan komitmen Jabatan Buruh dalam memperbaiki iklim perniagaan secara berterusan.

Perubahan dan Tatacara Pembayaran Wang Taruhan Pekerja Asing akan berkuat kuasa pada 1 September ini yang mana para majikan boleh menggunakan Jaminan Insurans atau Takaful Pekerja Asing (JITPA) bagi pembayaran wang taruhan pekerja asing selain secara tunai dan dengan menggunakan jaminan bank; selain itu wang taruhan pengambilan pekerja asing juga diturunkan dengan kadar yang lebih rendah dan berpatutan.

Antara majikan yang hadir mendengarkan sesi taklimat tersebut.
Antara majikan yang hadir mendengarkan sesi taklimat tersebut.

Pemangku Pesuruhjaya Buruh juga menerangkan bahawa bagi majikan yang ingin membuat pembayaran menggunakan JITPA (khas untuk syarikat sahaja), mereka bolehlah menghubungi operator insurans atau takaful yang berdaftar di negara ini bagi mengetahui mengenai produk jaminan insurans atau takaful pekerja asing.

Pada masa ini, syarikat insurans atau takaful yang mengeluarkan produk tersebut adalah Syarikat Takaful Brunei Am Sdn Bhd (TBA).

Mengenai dengan wang taruhan pengambilan pekerja asing yang telah dibayar oleh majikan sebelum ini, majikan juga disarankan untuk menuntut baki wang taruhan tersebut yang mana permohonannya akan dibukakan bermula 9 Januari 2017, jelas Haji Rani lagi.

Jerayawara telah mendengarkan taklimat mengenai Polisi Pembayaran Wang Taruhan Pekerja Asing yang disampaikan oleh Pegawai Kewangan Jabatan Buruh, Dayang Asiah binti Ibrahim dan diikuti dengan taklimat Jaminan Insurans Takaful Pekerja Asing oleh wakil Syarikat Takaful Brunei Am Sdn Bhd.

Jerayawara ini akan diteruskan lagi di Daerah Belait dan seterusnya ke Daerah Brunei dan Muara dan juga Daerah Temburong.

ARTIKEL YANG SAMA