Kefahaman terhadap Konsep Melayu Islam Beraja

Kefahaman terhadap Konsep Melayu Islam Beraja

Oleh Hajah Saemah Kepli

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Okt – Kefahaman tentang Konsep Melayu Islam Beraja (MIB) dan Negara Zikir dalam takrif dan skopnya yang luas menjadi satu kemestian terutama kepada kalangan penjawat awam yang memikul amanah, tugas dan tanggungjawab melaksanakan dasar dan program pembangunan bangsa dan negara.

Kegagalan untuk memahami dan menghayati perkara asas ini dan mengetepikannya terutama dalam membuat perancangan strategik dan perancangan senario, akan menyebabkan kepincangan dalam perlaksanaan dasar dan program pembangunan negara.

Perkara itu ditekankan oleh Dato Paduka Malai Haji Ali bin Malai Haji Othman selaku pemudahcara Program Latihan Pengurusan bertajuk ‘Perancangan Strategik dan Senario’, anjuran Institut Perkhidmatan Awam (IPA) yang dikendalikan oleh PPP Ilmu Alim, sebuah firma perundingan dan pengurusan tempatan di sini.

Dato Paduka Malai Haji Ali turut berkata, apabila perkara pokok diketepikan setentunya keutamaan dalam perlaksanaan dasar dan program pembangunan bangsa dan negara juga akan mudah tersasar dari landasan Maqasid (objektif) Syariah iaitu yang memelihara agama, nyawa, akal, harta dan keturunan sebagai asas pembangunan negara yang adil, selamat, sejahtera dan mendapat perlindungan Allah.

Dato Paduka Malai Haji Ali ketika menyampaikan taklimat dalam Bengkel Program Latihan Pengurusan.
Dato Paduka Malai Haji Ali ketika menyampaikan taklimat dalam Bengkel Program Latihan Pengurusan.

“Dalam kata lain paradigma, nilai-nilai murni, tataetika Melayu Islam Beraja dan Negara Zikir merupakan ‘fundamental’ kukuh yang wajib diperkukuhkan dalam semua aspek kehidupan bernegara, antara langkah awal ialah dengan menyerapkan paradigma MIB dan Negara Zikir dalam proses membuat perancangan strategik dan senario,” katanya.

Program latihan dua hari itu telah mencapai kesepakatan daripada pesertanya bahawa sesebuah organisasi perlu menyesuaikan dan menyelaraskan setiap perancangan dengan persekitaran kerohanian, politik dan sosial di Negara Brunei Darussalam yang telah menjadikan Konsep Melayu Islam Beraja dan Negara Zikir sebagai cara hidup bangsanya.

Program latihan tersebut turut memberikan peluang kepada para peserta menjalani latihan dalam proses melakar perancangan strategik dan penyediaan senario antaranya proses dalam pembentukan strategi, mengenal pasti isu, analisa SWOT, akauntabiliti, pelan tindakan dan perlaksanaan dan sebagainya.

ARTIKEL YANG SAMA