Kefahaman wang taruhan pekerja asing

Kefahaman wang taruhan pekerja asing

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Ogos – Jabatan Buruh, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, semalam, mengadakan Jerayawara Pemberigaan Polisi Pembayaran Wang Taruhan Pengambilan Pekerja Asing bagi Daerah Brunei dan Muara bagi para majikan dan pekerja yang berlangsung di Dewan Serba Guna, Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat, Lapangan Terbang Lama, Berakas.

Hadir selaku pengerusi majlis ialah Pemangku Timbalan Pesuruhjaya Buruh, Awang Shahriman bin Haji Besar. Turut serta ialah pemangku timbalan pesuruhjaya buruh (operasi), pegawai-pegawai kanan Jabatan Buruh, pemangku pengurus besar, pemangku timbalan pengurus besar dan pegawai-pegawai kanan dari Syarikat Takaful Brunei Am Sdn Bhd.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, jerayawara kali ini dibahagikan kepada dua sesi iaitu sesi pagi dan sesi petang, yang diisikan dengan taklimat mengenai Polisi Pembayaran Wang Taruhan Pengambilan Pekerja Asing dari Jabatan Buruh yang disampaikan oleh Pegawai Kewangan Jabatan Buruh, Dayang Asiah binti Ibrahim dan taklimat mengenai Jaminan Insurans Takaful Pekerja Asing oleh wakil Syarikat Takaful Brunei Am Sdn Bhd.

Ketika jerayawara tersebut dijalankan.
Ketika jerayawara tersebut dijalankan.

Antara lain objektif jerayawara ini adalah untuk memberikan penerangan dan kefahaman kepada para majikan khususnya berhubung dengan perubahan dan tatacara dalam pembayaran wang taruhan pengambilan pekerja asing yang akan mula berkuat kuasa pada 1 September 2016.

Pada majlis tersebut, para majikan juga diberikan risalah mengenai perubahan polisi dan tatacara pembayaran wang taruhan pengambilan pekerja asing untuk makluman dan rujukan para majikan.

Untuk sebarang penerangan lanjut mengenainya, para majikan dan pihak-pihak berkepentingan bolehlah menghubungi Unit Kewangan, Jabatan Buruh di talian 2382703 dan 2380256 sambungan 2300, 2301 dan 2302 ataupun berkunjung ke Unit Kewangan, Tingkat 1, Bangunan Ibu Pejabat Jabatan Buruh.

Jerayawara seumpamanya telah diadakan di Daerah Tutong dan Daerah Belait dan akan diteruskan lagi di lokasi terakhir iaitu di Daerah Temburong pada penghujung bulan ini.

ARTIKEL YANG SAMA